Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) memberi tumpuan kepada strategi tiga P, iaitu platform, permit dan promosi bagi membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) menembusi pasaran antarabangsa.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim, berkata pendekatan itu bertujuan mewujudkan ekosistem e-dagang rentas sempadan yang membolehkan produk tempatan yang bersedia untuk dieksport menembusi pasaran global.

“Pada hari ini, kita akan memeterai kerjasama dengan rakan dari Uzbekistan, Lazada Malaysia dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) bagi memperkukuh institusi, ekosistem serta kerjasama strategik untuk membantu PMKS terus maju, mengharungi cabaran dan mencapai kejayaan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Persidangan Eksport Enterprise 50 (E50) di sini, hari ini.

Dalam pada itu, SME Corp Malaysia memperkukuh usaha membantu PMKS menembusi pasaran antarabangsa menerusi kerjasama strategik dengan Uzbekistan bagi membuka peluang perniagaan baharu di rantau Asia Tengah.

Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp Malaysia, Rizal Nainy, berkata kerjasama itu akan membolehkan PMKS tempatan meneroka peluang pasaran baharu, membina rangkaian perniagaan dan mengenal pasti potensi kerjasama dengan rakan strategik di Uzbekistan.

Kerjasama itu dimeterai menerusi pertukaran memorandum persefahaman (MoU) antara SME Corp Malaysia dengan Entrepreneurship Development Company (EDC) Uzbekistan yang disaksikan Sim.

Rizal berkata, misi perdagangan SME Corp Malaysia ke Uzbekistan tahun lalu berjaya mengenal pasti potensi jualan bernilai kira-kira RM50.6 juta.

“Saya percaya kita boleh mencapai lebih banyak peluang menerusi pertukaran MoU hari ini,” katanya berucap pada persidangan berkenaan.

Dalam perkembangan berkaitan, SME Corp Malaysia turut menjalinkan kerjasama dengan Lazada Malaysia bagi memperluas akses PMKS ke pasaran e-dagang serantau dan antarabangsa.

Kerjasama dengan CIDB pula bertujuan memperkukuh ekosistem PMKS khususnya dalam sektor pembinaan.

Rizal berkata, SME Corp Malaysia turut menghasilkan panduan perjanjian perdagangan bebas (FTA) untuk PMKS susulan dapatan kajian yang menunjukkan hanya kira-kira 10 peratus responden mengetahui mengenai perjanjian berkenaan.

Beliau berkata, pemahaman mengenai FTA penting bagi membantu PMKS mengenal pasti manfaat perjanjian perdagangan, peluang memasuki pasaran destinasi serta halangan tarif dan bukan tarif yang perlu ditangani ketika mengembangkan perniagaan ke luar negara.-BH Online