Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Penguatkuasaan garis panduan bagi memperkukuh ketelusan kutipan dan pengagihan royalti muzik oleh organisasi pengurusan kolektif (CMO) masih tertangguh susulan tindakan semakan kehakiman difailkan tiga organisasi berkenaan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata tiga CMO terbabit ialah Music Authors Copyright Protection(MACP), Public Performance Malaysia (PPM) dan Recording Performers Malaysia (RPM), yang memfailkan tindakan itu pada 16 April 2025.

Beliau berkata, pendengaran substantif bagi semakan kehakiman berkenaan dijadualkan berlangsung pada 24 November ini.

“KPDN melihat penguatkuasaan garis panduan berkenaan amat kritikal bagi memperkukuh ketelusan tadbir urus CMO, termasuk dalam aspek pengiraan asas kadar tarif yang munasabah, kutipan pelesenan dan pengagihan royalti.

“Justeru, KPDN akan terus mempertahankan garis panduan ini mengikut jalur dan lunas undang-undang sewajarnya,” katanya ketika menjawab pertanyaan lisan di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Beliau menjawab soalan Cha Kee Chin (PH-Rasah) yang meminta penjelasan mengenai mekanisme Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) bagi memastikan kutipan, pengiraan dan pengagihan royalti oleh CMO dilaksanakan secara telus serta boleh diaudit, termasuk hak pemegang hak cipta untuk menyemak asas pengiraan royalti yang diterima.

Armizan berkata, garis panduan itu merangkumi penambahbaikan dalam pengurusan rekod kewangan dan tarif, tatacara pelantikan ejen pelesenan serta hak pengundian dalam mesyuarat agung tahunan.

Beliau berkata garis panduan berkenaan dibangunkan selepas beberapa siri libat urus dengan pemegang taruh sepanjang 2023 hingga 2024, membabitkan KPDN, MyIPO, Kementerian Komunikasi, Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC), Persatuan Karyawan Malaysia (KARYAWAN), ahli akademik, pengurusan CMO dan wakil penggiat seni tempatan.

Dalam usaha memperkukuh akauntabiliti pengurusan royalti, kerajaan turut memperkenalkan Seksyen 59C Akta Hak Cipta pada 2019 yang menyediakan saluran penyelesaian pertikaian menerusi Tribunal Hak Cipta.

Tribunal berkenaan boleh mendengar dan memutuskan pertikaian pengagihan royalti antara CMO dengan anggotanya, tertakluk kepada persetujuan kedua-dua pihak.

Selain itu, mulai 2022, CMO diwajibkan mengemukakan dokumen pematuhan untuk penelitian dan pertimbangan bagi pembaharuan perisytiharan setiap dua tahun.

KPDN melalui MyIPO mula mengawal selia CMO menerusi kerangka perisytiharan di bawah Seksyen 27A Akta Hak Cipta 1987 sejak 2012. -BH Online