Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Proses pendaftaran dalam talian bagi pelarian oleh Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) dikenal pasti punca lambakan pelarian ke negara ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata kebanyakan pelarian memasuki negara ini sebagai pelancong dengan menggunakan pas lawatan sosial.

Katanya, individu boleh memohon status pelarian dari luar negara dan memasuki Malaysia sebelum UNHCR membuat keputusan terhadap permohonan mereka.

“Dia mungkin berada di Yemen, dia mungkin berada di Syria, dia mungkin berada di Afghanistan atau mana-mana negara yang ada push factor (faktor penolak).

“Tak kiralah pelarian apa pun, dia mohon. Belum pun UNHCR di Kuala Lumpur beri keputusan terhadap permohonan, dia datang dulu sebagai pelancong (guna) pas lawatan sosial.

“Kemudian setiap minggu dia akan berkumpul di depan pejabat UNHCR di Jalan Bellamy di sini untuk bertanya status permohonan mereka. Itulah realitinya. Kita ini bercakap tentang hiliran. Yang huluan itu adalah menjadi punca masalah,” katanya ketika Sesi Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Dr Radzi Jidin (PN-Putrajaya) sama ada Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP) kerajaan boleh menjadi faktor penarik.

Saifuddin Nasution turut mengulas dakwaan di media sosial bahawa sesetengah pelarian melakukan perjalanan dari kem di luar negara menggunakan pasport asing sebelum memasuki Malaysia dan kemudiannya mendapatkan dokumen UNHCR.

“Saya anggap itu kekal sebagai dakwaan. Sebab kalau ia pelarian dan dia dikatakan masuk menggunakan pasport, kemudian dengan pasport itu dia mohon status pelarian. Perkara itu tak membabitkan kuasa kita langsung.

“UNHCR punya tapisan. Oleh itu, reaksi saya adalah kalau adanya dakwaan seperti itu. Menjadi tanggungjawab, kewajipan mereka untuk mendekati kita (atau) pihak berkuasa. Ia bagi menjalankan kewajipan dan tanggungjawab sesuai dengan undang-undang dalam negara kita,” katanya.

Menjawab soalan tambahan sama ada Malaysia wajar menghidupkan semula menempatkan pelarian di kem khusus seperti dilakukan terhadap pelarian Vietnam beberapa dekad lalu, beliau berkata, mekanisme terbabit dianggap berkesan pada waktu itu. 

“Isu pelarian Vietnam diselesaikan dengan cara berbeza kerana Malaysia akhirnya menetapkan penghantaran pulang sebagai syarat untuk menyokong kemasukan Vietnam ke dalam ASEAN.

“Vietnam bersetuju. Jadi, perkara itu dapat diselesaikan,” katanya. -BH Online