KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sedang menjalankan kajian bagi membendung aktiviti ‘ulat tiket’.
Timbalan Menterinya, Datuk Dr Fuziah Salleh, berkata kajian berkenaan akan dimuktamadkan untuk dibawa ke peringkat pelaksanaan pada tahun hadapan.
Katanya, langkah itu bertujuan melindungi pengguna daripada amalan penjualan tiket pada harga jauh lebih tinggi daripada harga asal yang membebankan pengguna dan mendedahkan mereka kepada risiko ditipu.
“Ketika ini, negara masih belum mempunyai peruntukan undang-undang khusus yang menangani aktiviti ‘ulat tiket’ secara menyeluruh,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) mengenai kajian yang dilaksanakan untuk menggubal undang-undang khusus bagi menangani kegiatan ‘ulat tiket’.
Fuziah berkata, kajian itu akan merangkumi penelitian terhadap Seksyen 15(1) Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.
Katanya, ia bagi mengenal pasti ruang perundangan yang boleh dimanfaatkan untuk membangunkan kerangka kawal selia berhubung aktiviti berkenaan.
“Kajian turut meneliti undang-undang dilaksanakan beberapa negara lain termasuk Australia, Ireland, Kanada, Jepun, Taiwan dan Singapura bagi mengenal pasti pendekatan kawal selia yang bersesuaian dengan keperluan negara.
“Antara aspek yang diberi perhatian ialah penetapan takrifan scalping, kawalan pembelian tiket secara pukal menerusi platform dalam talian.
“Apabila berlakunya pembelian tiket secara pukal sama ada melalui bot atau individu, di sini berlakunya penjualan secara sekunder dan wujudnya keadaan scalping.
“Selain itu, kita juga akan kaji kemungkinan pengesahan identiti pembeli serta pemegang tiket, dan kesesuaian mekanisme kawalan harga serta peruntukan antipencatutan sedia ada,” katanya.
Fuziah berkata, pihaknya turut meneliti cabaran penguatkuasaan supaya peraturan yang bakal diwujudkan bukan sahaja dapat dilaksanakan secara berkesan.
“Malah ia mengambil kira ciri transaksi tiket yang berbeza khususnya bagi acara yang berlangsung sekali sahaja,” katanya.
Tambahnya, KPDN juga akan terus mempergiat advokasi pengguna dan mengadakan libat urus dengan penganjur acara.
“Libat urus itu bagi menggalakkan amalan penjualan tiket yang lebih telus, termasuk penyampaian maklumat terma dan syarat pembelian yang jelas kepada pengguna,” katanya.
Beliau berharap peraturan berkenaan dapat menyediakan mekanisme kawal selia yang lebih bersesuaian untuk menangani aktiviti ‘ulat tiket’, di samping memperkukuh perlindungan hak pengguna dalam urusan pembelian tiket. -BH Online
