GEORGETOWN: Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek, mempertahankan keperluan penutupan sekolah secara berasaskan kes mengikut keperluan semasa penularan jerebu memandangkan kualiti udara sentiasa berubah mengikut masa dan lokasi.
Beliau juga memahami kebimbangan ibu bapa berhubung pengumuman penutupan sekolah secara harian, termasuk desakan supaya sekolah ditutup beberapa hari bagi memudahkan keluarga membuat perancangan awal.
“Saya memahami kebimbangan ini. Justeru, saya sudah meminta supaya keputusan penutupan sekolah dimaklumkan seawal mungkin bagi memberi ruang kepada ibu bapa membuat persiapan,” katanya menerusi hantaran di laman media sosial.
Bagaimanapun, Fadhlina menegaskan Indeks Pencemaran Udara (IPU) boleh berubah mengikut masa dan tempat, sekali gus menuntut keputusan penutupan sekolah diselaraskan mengikut keadaan semasa di kawasan yang terbabit.
Katanya, pengurusan jerebu memerlukan tindakan terselaras, yang mana Jabatan Alam Sekitar memantau kualiti udara dan menangani pencemaran, Kementerian Kesihatan memberikan panduan kesihatan awam, manakala Kementerian Pendidikan (KPM) menumpukan keselamatan murid serta operasi sekolah.
Fadhlina turut menyorot kesan berpanjangan gangguan persekolahan terhadap pendidikan kanak-kanak dengan mengambil iktibar daripada pandemik COVID-19.
Katanya, usaha menangani keciciran pembelajaran masih berterusan dan beliau memberi amaran bahawa masa pembelajaran di bilik darjah yang hilang sukar diganti, terutama memandangkan akses kepada Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) berbeza mengikut kemampuan murid.
“Masa belajar yang hilang tidak mudah untuk diganti, terutama apabila kemudahan PdPR tidak sama bagi setiap murid,” katanya. -BH Online
