KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu mengimbangi kekangan fiskal dengan keperluan untuk meneruskan pembangunan negara dan melindungi kebajikan rakyat, kata Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir.
Beliau berkata, Belanjawan 2027 memperuntukkan kira-kira RM83 bilion bagi perbelanjaan pembangunan untuk memastikan kesinambungan pembangunan negara manakala keupayaan fiskal negara bergantung pada pendapatan dan hasil yang dijana daripada pertumbuhan ekonomi.
“Walaupun kita terus melindungi rakyat, terutamanya melalui subsidi, kita juga perlu memastikan pembangunan yang memberi impak besar kepada masa depan dapat diteruskan,” katanya kepada pemberita di luar Forum Peringkat Menteri bersempena dengan Sidang Kemuncak Pemimpin Muda Masa Hadapan Antarabangsa (iFUTURE) 2026 di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai Belanjawan 2027 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat lalu.
Akmal Nasrullah berkata, memperkukuh daya tahan domestik kekal penting dalam ketidaktentuan global, dengan belanjawan itu bertujuan mengekalkan kemajuan yang dicapai sejak dua hingga tiga tahun lalu.
“Pembangunan juga perlu memberi manfaat kepada rakyat Malaysia biasa, termasuk melalui langkah berkaitan gaji yang bertujuan memastikan pekerja menerima imbuhan yang lebih setimpal,” katanya.
Ditanya mengenai tempoh perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) akan dikecualikan daripada melaksanakan gaji minimum RM2,000, Akmal berkata: “Pelaksanaan pada masa ini membabitkan syarikat yang menjana pendapatan melebihi RM50 juta”.
Mengenai perkembangan gaji, katanya kenaikan gaji minimum boleh menyebabkan pemampatan gaji jika gaji bagi kumpulan pekerja pada gred gaji yang lebih tinggi tidak dinaikkan secara berkadar.
“Pelaksanaannya perlu mengambil kira bukan saja pekerja pada tahap gaji paling rendah, malah kemahiran dan kelayakan mereka yang berada pada peringkat gaji lebih tinggi, termasuk pemegang ijazah.
“Kementerian berkaitan perlu merangka mekanisme terbaik supaya pelaksanaannya bukan saja menaikkan gaji pekerja pada peringkat paling rendah, malah memastikan kenaikan gaji yang seimbang bagi mereka yang berkelayakan,” katanya. – BERNAMA
