IPOH: Malaysia masih menunggu maklum balas Indonesia berhubung tawaran bantuan memadamkan kebakaran hutan dan tanah di Sumatera dan Kalimantan yang menyebabkan jerebu rentas sempadan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata ketika lawatan ke Jakarta bulan lepas, beliau telah bertemu dengan Presiden Indonesia Prabowo Subianto serta wakil Naib Presiden bagi membincangkan tawaran bantuan itu.
“NADMA (Agensi Pengurusan Bencana Negara) dan Kementerian Luar juga telah menulis surat kepada rakan sejawat masing-masing, tetapi masih belum ada jawapan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Pelancaran Bulan Kesiapsiagaan Nasional (BKN) 2026 di Ipoh Convention Centre, di sini hari ini.
Terdahulu, dalam ucapannya, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara berkata Malaysia menawarkan sebuah pesawat pemadam kebakaran, tiga helikopter serta 52 pegawai dan anggota untuk membantu operasi memadamkan kebakaran di Indonesia.
Sementara itu, beliau berkata Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) bukan sahaja membantu menangani bencana dalam negara, malah sentiasa bersedia memberikan bantuan kepada negara lain yang dilanda bencana.
Beliau berkata pasukan itu turut dihantar ke Nepal bagi membantu usaha mengesan 55 rakyat Malaysia yang masih belum dapat dihubungi susulan bencana di negara berkenaan, termasuk melalui penghantaran sampel asid deoksiribonukleik (DNA) untuk membantu proses pengecaman.
“Setakat ini, kita belum menemukan sebarang peninggalan untuk dibawa pulang ke Malaysia. Kita masih menunggu,” katanya.
Ahmad Zahid turut melahirkan rasa bangga dan tahniah kepada SMART atas pengiktirafan sebagai pasukan penyelamat kedua terbaik di Asia selepas Jepun.
Beliau berkata SMART juga berjaya mengekalkan klasifikasi antarabangsa Heavy Urban Search and Rescue (USAR) selepas menjalani penilaian selama 36 jam yang melibatkan 173 kriteria.– BERNAMA
