KOTA TINGGI: Penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bukan penentu kepada penyiapan Kapal Tempur Pesisir (LCS) pertama Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), sebaliknya pihak pembuat kapal perlu memastikan tiada lagi kelewatan dalam menyiapkan kapal berkenaan.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata Kementerian Pertahanan (MINDEF) kini berunding dengan beberapa negara yang disenarai pendek bagi mendapatkan pembekal peluru berpandu permukaan ke permukaan untuk LCS1, sebagai alternatif kepada Naval Strike Missile (NSM) dari Norway.
Beliau berkata, usaha itu bertujuan memastikan kapal berkenaan dapat dilengkapi sepenuhnya dengan sistem persenjataan tanpa mengambil masa terlalu lama.
“Ketika ini LCS1 sudah dilengkapi peluru berpandu permukaan ke udara, selain sistem berkaitan peperangan antikapal selam dan keupayaan mengesan sasaran.
“Bagaimanapun, kelengkapan peluru berpandu permukaan ke permukaan masih perlu diselesaikan bagi membolehkan kapal berkenaan melaksanakan tugas pertahanan maritim dengan lebih menyeluruh,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan beberapa Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang supaya kerajaan menubuhkan RCI bagi menyiasat kelewatan kemajuan projek LCS TLDM.
Mengulas usaha mendapatkan pembekal peluru berpandu alternatif, Mohamed Khaled berkata, wakil MINDEF sudah dihantar ke beberapa negara yang berpotensi membekalkan sistem persenjataan berkenaan.
“Kita sudah menghantar (wakil) ke negara-negara yang boleh menjadi pembekal bagi menggantikan peluru berpandu NSM.
“Insya-Allah, kita akan pastikan kapal pertama kita, LCS1 tidak berhadapan dengan tempoh terlalu lama untuk mempunyai kelengkapan yang penuh,” katanya.
Beliau berkata, keupayaan peluru berpandu permukaan ke permukaan penting bagi membolehkan kapal TLDM menyerang sasaran maritim dari jarak jauh sekiranya berlaku konflik.
Katanya, peluru berpandu antikapal itu diperlukan bagi melengkapkan keupayaan tempur LCS1, selain sistem persenjataan dan keupayaan operasi yang sudah tersedia.
Mengulas kenyataan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hasan Abdul Karim, yang menggesa siasatan berhubung isu LCS dipercepat dan tidak hanya bergantung pada penubuhan RCI, Mohamed Khaled berkata, proses siasatan perlu dibezakan daripada usaha memastikan kapal berkenaan disiapkan.
Beliau berkata, isu projek LCS juga perlu mengambil kira tindakan undang-undang yang sudah diambil terhadap individu tertentu berhubung perkara itu.
Pada masa sama, katanya, usaha melengkapkan LCS1 dengan sistem persenjataan perlu diteruskan bagi memastikan kapal berkenaan dapat beroperasi dengan keupayaan yang diperlukan.-BH Online

