KUALA LUMPUR: Penambahbaikan sistem pengangkutan dan pengurusan trafik menjadi antara perkara yang akan diberi perhatian bagi memastikan masalah kesesakan tidak berulang pada penganjuran MotoGP di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dari 30 Oktober hingga 1 November ini.
Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, pengalaman penganjuran Formula Satu (F1) Gulf Air Bahrain di Sepang baru-baru ini memberi pengajaran kepada pihak pengurusan, terutama SIC untuk menilai kelemahan dan melakukan penambahbaikan bagi memastikan penonton lebih selesa.
Justeru, penilaian perlu dilakukan secara menyeluruh, terutama dari aspek komunikasi, pengurusan acara dan kemudahan pengangkutan bagi memastikan pergerakan penonton lebih lancar tanpa sebarang isu berbangkit pada masa akan datang.
“Kita perlu memperbaiki semua aspek termasuk komunikasi dan penganjuran. Ada penambahbaikan dari hari pertama hingga hari ketiga (GP Bahrain) termasuk pembabitan RELA, penambahan bas Rapid dan beberapa perkara lain.
“Kita tidak mahu menyalahkan mana-mana pihak, sebaliknya perkara paling penting adalah mencari penyelesaian bersama,” katanya pada sidang media GP Malaysia di Bangunan Sultan Abdul Samad, Kuala Lumpur.
Turut hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SIC, Azhan Shafriman Hanif dalam majlis berkenaan.
Sebelum ini, pada hari pertama F1 Bahrain di Sepang, isu pengangkutan menjadi tumpuan apabila orang ramai terpaksa menunggu berjam-jam sehingga ada yang mengambil keputusan berjalan kaki kerana tidak sanggup menunggu lebih lama.
Dalam pada itu, Taufiq berkata, perkara berkenaan akan dibincangkan dalam jawatankuasa berkaitan bagi mengenal pasti langkah yang perlu diambil sekiranya acara berskala besar seumpama itu dianjurkan lagi.
“Jawatankuasa kita akan membincangkan langkah seterusnya sekiranya penganjuran acara berskala besar seperti ini diadakan lagi, termasuk mengenal pasti kelemahan yang perlu dielakkan serta menambah baik infrastruktur dan sistem pengangkutan.
“Semua aspek ini akan dinilai bagi memastikan kelancaran penganjuran pada masa akan datang,” katanya. -BH Online

