SEPANG: Masyarakat perlu berwaspada terhadap penipuan pakej haji dan umrah oleh individu atau pihak tidak yang berlesen, termasuk pakej badal haji pada harga tidak munasabah.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, pihaknya sudah meneliti dan memantau pakej yang diragui bagi mengelakkan masyarakat menjadi mangsa penipuan.
“Sebelum ini terdapat tawaran pakej badal haji pada harga serendah RM2,500 hingga RM5,000.
“Hampir mustahil untuk menawarkan pakej pada harga murah, sekarang ini pakej badal haji semuanya sudah mahal,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutup Karnival Haji, Umrah dan Pelancongan (KHUP 5) di Movenpick Hotel & Convention Centre (MHCC), di sini, hari ini.
Beliau berkata, tahun lalu adalah tahun cemerlang bagi Lembaga Tabung Haji (TH) kerana sifar penipuan haji.
“Alhamdulillah, syukur kepada Allah SWT. Kita mahu mengekalkan kecemerlangan ini pada tahun berikutnya,” katanya.
Zulkifli menegaskan pihaknya tidak mahu lagi ada jemaah haji menjadi mangsa penipuan pelbagai pakej.
Oleh itu, Pengelola Jemaah Haji (PJH) perlu memainkan peranan bagi memastikan perkara berkenaan tidak berlaku.
Katanya, TH akan menjalankan pemantauan dengan bantuan Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR), selain bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), kementerian serta agensi lain.
“Insya-Allah, kita akan memastikan perjalanan haji terus berjalan lancar dan tiada kes penipuan umrah.
“Kita ingin meneruskan kempen ‘Tiada Visa, Tiada Haji’.
“Malah, Muzakarah Haji Kebangsaan sudah keluarkan fatwa atau memutuskan mereka yang menunaikan haji tanpa visa, sah hajinya tetapi berdosa,” katanya.-BH Online
