KUALA LUMPUR: Kerajaan akan terus membantu mengembangkan seni khat termasuk membuka peluang kerjasama antara penggiat dan usahawan dalam bidang itu dengan syarikat multinasional serta pihak yang berminat untuk melabur.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, usaha itu bertujuan mengangkat seni khat supaya turut memberi impak kepada kehidupan penggiat yang menceburi bidang itu.
Katanya, cadangan sudah dikemukakan kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bagi mempertemukan penggiat dan usahawan khat dengan pihak yang melihat potensi pelaburan dalam seni itu.null
“Visi kita adalah bagaimana hendak mempertemukan penggiat dan usahawan khat dengan syarikat multinasional serta pihak yang melihat potensi pelaburan untuk mengangkat seni khat, sebagai contoh dijadikan hadiah dalam temasya dan pertandingan.
“Kita bukan hanya berbicara tentang seni, tetapi juga impak seni itu kepada kehidupan mereka yang berbakat dan mempunyai kelebihan dalam bidang khat,” katanya ketika merasmikan Pameran Seni Khat Sedunia – FAWATIH di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini, hari ini.
Pameran ini adalah penganjuran sulung yang dianjurkan menerusi kerjasama strategik Persatuan Karyawan Kaligrafi dengan Jawi Malaysia (KALIMA) serta Persatuan Khat Kebangsaan (PSKK). Ia menghimpunkan 34 karya daripada 17 orang pempamer, termasuk dua mushaf al-Quran tulisan tangan.
Karya yang diketengahkan memperlihatkan kepelbagaian gaya dan tradisi seni khat, khususnya yang mempunyai pengaruh Arab dan Turki, di samping menampilkan penggiat seni khat di Malaysia yang mempunyai pengalaman di peringkat antarabangsa.
Zulkifli berkata, kerajaan akan terus menyokong usaha berkenaan, termasuk meneroka kerjasama dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bagi mengembangkan seni khat.
“Saya yakin bahawa ini adalah segmen yang sudah begitu lama tidak diberi perhatian. Inilah masanya kerajaan Madani mengambil tanggungjawab,” katanya.
Zulkifli berkata perbincangan dan usaha itu akan diteruskan dengan perancangan menjadikan Pameran Seni Khat Sedunia sebagai jenama yang menjadi rujukan dunia termasuk penyertaan antarabangsa seperti Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Antarabangsa (MTHQA).
“Di situ kita dapat lihat betapa keindahan Al-Quran yang disokong dengan pelbagai ketamadunan peradaban budaya dan nampak bagaimana setiap budaya bangsa keunikan itu ada kekuatan masing-masing dan ia mewakili keindahan mewakili keajaiban mewakili ciptaan Allah.
“Kita punya potensi, kita punya sumber, kita punya bakat, kita punya agensi untuk menggerakkannya dan kita punya sumber dana. Apa yang penting sekarang ini adalah kita merencana, merancang dan melaksanakan segala strategi dan tindakan,” katanya. -BH Online
