PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengarahkan Universiti Teknologi MARA (UiTM) menyediakan laporan lengkap berhubung kejadian penuntut meninggal dunia akibat kesukaran bernafas ketika menyertai acara duathlon program Ketahanan Komander Kesatria (KKEC) di Pahang pada Jumaat lalu.
Menterinya, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, berkata laporan itu termasuk mengenal pasti punca dan tindakan susulan.
Katanya, laporan awal yang diterima mendapati kejadian itu dipercayai berkaitan suhu dan haba yang keterlaluan ketika latihan berkenaan.
“Latihan Kesatria adalah program sedia ada yang turut dilaksanakan di universiti lain dan lazimnya membabitkan latihan intensif,” katanya kepada pemberita pada Majlis Penyerahan Surat Tajaan Yuran Pengajian Ijazah Sarjana Muda Kepada Pelajar Terbaik STPM 2025 di kementeriannya hari ini.
Beliau mengulas insiden seorang penuntut UiTM, Fadhlan Fakhry Solana Mohd Fellimal, 21 meninggal dunia selepas mengalami kesukaran bernafas ketika acara duathlon dalam program KKEC, Jumaat lalu.
Dalam kejadian itu, lapan lagi peserta, masing-masing dua peserta menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) di Temerloh, manakala enam lagi dirawat di Hospital Jengka dan mereka dilaporkan stabil.
Media sebelum itu melaporkan, siasatan mendapati, sembilan penuntut terbabit terdiri daripada lima lelaki dan empat wanita, mengadu mengalami kesukaran bernafas ketika menyertai program itu di kampus Universiti UiTM Jengka, Maran.
Zambry turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga pelajar dan juga kepada mereka yang sedang dirawat.
“Kita doakan supaya keadaan mereka kembali pulih dan mereka dapat meneruskan pengajian,” katanya.
Beliau berkata, kementerian memandang serius setiap perkara yang membabitkan keselamatan dan kebajikan pelajar yang mengikuti program seumpama itu.
Katanya, pihak kementerian juga mahu mengambil pengajaran daripada kejadian berkenaan supaya perkara sama tidak berulang pada masa akan datang.
Sementara itu, ditanya mengenai kesan jerebu kepada institusi pengajian tinggi, Zambry berkata, tiada pengajian tinggi terjejas akibat jerebu setakat ini.
Katanya, bagi jerebu di Sarawak, institusi pendidikan tinggi di negeri berkenaan termasuk Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), tiga politeknik dan beberapa kolej komuniti turut mengambil langkah sewajarnya.
Katanya, pendekatan pembelajaran yang lebih anjal akan digunakan sekiranya keadaan menjejaskan kehadiran pelajar ke bilik kuliah.
“Kalau mereka tidak dapat pergi ke bilik kuliah, maka kita buat secara dalam talian,” katanya. -BH Online

