Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

ISKANDAR PUTERI : Lebih 600 anak Orang Asli kini melanjutkan pengajian di universiti dan kolej seluruh negara mencerminkan keprihatinan kerajaan terhadap isu pendidikan komuniti itu di negara ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata jumlah itu meningkat berbanding sasaran awal 200 orang ketika Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) diletakkan di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah diterajuinya empat tahun lalu.

“Pada tahun pertama, cabaran itu diterima. Bukan sekadar 200 orang masuk ke universiti, tetapi jumlah itu melebihi 300 Orang Asli yang masuk ke universiti pada tahun berkenaan.

“Tahun kedua, cabaran itu saya tingkatkan kepada 300. Jelas pencapaian anak-anak Orang Asli yang masuk ke universiti meningkat kepada 400 pada tahun kedua,” katanya ketika merasmikan penutupan Karnival Sukan Orang Asli (KSOA) Peringkat Kebangsaan Tahun 2026 di Kompleks Sukan EduCity, di sini, hari ini.

Hadir sama Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Ahmad Zahid berkata, pencapaian lebih 600 pelajar tahun ini membuktikan bahawa masyarakat Orang Asli mempunyai keupayaan untuk terus maju sekiranya diberi peluang serta sokongan pendidikan sewajarnya.

“Ini satu mobiliti sosial yang baik kerana pendidikan ialah satu elemen untuk menaikkan taraf sosial mana-mana masyarakat di dunia,” katanya.

Beliau berkata usaha memperkasakan pendidikan masyarakat Orang Asli turut diperluas kepada bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) menerusi penyediaan institusi khusus bagi komuniti berkenaan.

Ahmad Zahid berkata, antaranya Pusat Latihan Paya Bungor di Maran, Pahang yang kini menempatkan 135 anak Orang Asli mengikuti program TVET yang menyediakan program jangka pendek dan jangka panjang.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid menghargai komitmen kerajaan negeri Johor yang menyediakan peruntukan RM600,000 kepada 60 kampung Orang Asli di negeri ini, bersamaan RM10,000 bagi setiap kampung. -BH Online