Sorting by

×
Screenshot
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Majlis Amanah Rakyat (MARA) meletak sasaran 40 peratus graduan Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM) menceburi bidang keusahawanan menjelang penghujung tahun depan.

Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata penetapan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) itu selaras usaha melahirkan lebih ramai graduan yang mampu mencipta pekerjaan di negara ini.

Katanya, sasaran berkenaan tidak mustahil dicapai memandangkan MARA sudah melaksanakan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Usahawan di institusi pendidikan MARA yang lain.

“Dalam konteks UPTM, rekod menunjukkan tujuh peratus graduannya terbabit dalam bidang keusahawanan.

“Kita meletakkan sasaran lebih tinggi iaitu mencapai 40 peratus menjelang penghujung tahun depan.

“Maksudnya, hari ini kita mahu graduan tidak lagi sekadar mencari pekerjaan, sebaliknya mencipta peluang pekerjaan,” katanya pada sidang media selepas Program ‘First Youth E-Commerce Business Innovation’ di sini, hari ini.

Hadir sama Naib Canselor UPTM, Prof Dr Sharifah Syahirah Syed Sheikh.

Asyraf Wajdi berkata, bagi program TVET Usahawan, penuntut digalak membuka syarikat sebaik memulakan pengajian sebagai pendedahan awal kepada dunia perniagaan.

“Mereka perlu mempunyai syarikat sendiri dan mencapai jualan minimum RM30,000. Itu sebahagian daripada sasaran TVET Usahawan atau TVET Entrepreneur,” katanya.

Usaha itu, katanya, adalah sebahagian daripada agenda MARA untuk merealisasikan konsep 3P iaitu penyertaan, pemilikan dan penguasaan, khususnya dalam kalangan usahawan Bumiputera.

Katanya, UPTM berperanan penting dalam menjayakan agenda berkenaan menerusi pembabitan penuntutnya dalam bidang perniagaan dan keusahawanan.

“Kita mahu pendekatan di UPTM berbeza daripada universiti lain. 

“Walaupun mempunyai Fakulti Perniagaan dan Perakaunan, fakulti ini bukan sekadar mengajar teori, tetapi penuntut turut didedahkan secara langsung kepada sektor keusahawanan.

“Kita dapat melihat inovasi penuntut khususnya dalam bidang e-dagang, yang berpotensi membantu usahawan Bumiputera meningkatkan kecekapan operasi dan perniagaan mereka,” katanya.

Asyraf Wajdi berkata, MARA bersedia bekerjasama dengan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) dan Farm Fresh sebagai projek perintis mewujudkan mekanisme atau sistem lebih berkesan untuk membantu usahawan Bumiputera.

“Mungkin kita laksanakan program perintis terlebih dahulu dengan memilih empat hingga lima syarikat diwujudkan daripada program ini.

“Aplikasi terbaik akan dipilih untuk menjadi firma perunding kepada syarikat Bumiputera berskala kecil.

“Caj minimum sudah memadai kerana yang lebih penting ialah kuantiti kerja dan pengalaman sebagai permulaan. 

“TEKUN juga bersedia untuk berganding bahu kerana jika kita berjaya dalam konteks ini, model sama boleh diperluaskan ke sektor-sektor lain,” katanya. -BH Online