Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia diseru untuk lebih peka dan membuat semakan bagi memastikan tatacara penggunaan serta pemasangan Jalur Gemilang dilakukan dengan betul sebelum mengibarkannya.

Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang berkata Jalur Gemilang ialah lambang kedaulatan, maruah dan perpaduan negara yang wajib dihormati seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama atau fahaman politik.

“Bendera negara membawa identiti, sejarah serta kebanggaan kita sebagai negara merdeka dan berdaulat. Jangan takut untuk mengibarkan Jalur Gemilang. Namun, sentiasa faham, peka dan semak sebelum mengibarkannya,” katanya menerusi hantaran Facebook hari ini.

Aaron berkata Kementerian Perpaduan Negara menerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dan Sekretariat Rukun Negara akan mempertingkatkan pendedahan serta kesedaran masyarakat mengenai tatacara penggunaan dan pemasangan Jalur Gemilang yang betul.

Pendekatan itu bukan sahaja bertujuan mengelakkan kesilapan daripada berulang malah membina kefahaman dan menyemarakkan semangat patriotisme, khususnya dalam kalangan generasi muda.

Beliau berkata kesilapan yang tidak disengajakan wajar dijadikan ruang untuk mendidik dan meningkatkan kesedaran manakala tindakan disengajakan untuk menghina atau memperlekehkan lambang negara perlu ditangani mengikut peruntukan undang-undang.

Dalam pada itu, Aaron berkata prinsip yang sama perlu diterapkan dalam penggunaan Jalur Gemilang di media sosial termasuk kandungan janaan kecerdasan buatan (AI).

Beliau berkata penggunaan teknologi AI yang semakin meluas masih berupaya menghasilkan imej tidak tepat termasuk kesilapan pada bilangan jalur, susunan warna, bulan dan bintang atau kedudukan bendera.

“Justeru, setiap pengguna mempunyai tanggungjawab untuk menyemak kandungan sebelum diterbitkan atau dikongsikan. Teknologi harus membantu menyemarakkan patriotisme, bukan menjadi alasan untuk kita mengabaikan ketepatan lambang negara,” katanya.

Aaron berkata Jalur Gemilang tertakluk di bawah Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 yang antara lain memperuntukkan perbuatan seperti mengibarkan bendera secara terbalik sebagai kesalahan menghina bendera.

Beliau berkata kesalahan itu boleh dikenakan denda sehingga RM20,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, jika disabitkan.

“Penghormatan terhadap Jalur Gemilang adalah tanggungjawab bersama. Marilah kita menjadikannya sebagai simbol yang terus menyatukan rakyat Malaysia serta mendidik generasi seterusnya untuk mencintai, menghormati dan mempertahankan maruah negara,” katanya.– BERNAMA