SEREMBAN: Semua sampel asid deoksiribonukleik (DNA) waris kepada 55 rakyat Malaysia yang masih gagal dihubungi susulan banjir dan tanah runtuh di Nepal sudah diperoleh, kata Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Beliau berkata, sampel berkenaan akan dihantar ke negara dilanda bencana itu dalam tempoh terdekat bagi tujuan padanan.
Bagaimanapun beliau berkata disebabkan bilangan mangsa yang ramai, usaha itu dijangka memerlukan masa yang panjang untuk dapat membuat padanan.
“Jadi jika perlu, kita berkemungkinan hantar pakar-pakar dari Jabatan Kimia untuk mereka membantu pihak berkuasa Nepal dalam mengenal pasti dan membuat padanan DNA, sekali gus mempercepat proses padanan.
“Negara lain juga dilapor akan turut menghantar pakar DNA masing-masing untuk mempercepat proses padanan berkenaan,” katanya selepas merasmikan Karnival Kemerdekaan Pinggiran Senawang 2026 di sini hari ini.
Mengulas Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas (SMART) Malaysia, Mohamad berkata pasukan dilengkapi beberapa peralatan termasuk lima dron berkapasiti tinggi yang berlepas hari ini akan membantu pihak berkuasa Nepal mengesan sekiranya ada mangsa terselamat terutama di kawasan sukar dijejaki secara manual.
“Lokasi tragedi panjang dan luas dari Tibet merentasi Nepal sehingga menghampiri India… ia punca cerun dan lurah memang berbahaya, jadi menggunakan dron salah satu cara untuk kita mempermudahkan atau boleh membantu dalam usaha mencari serta menyelamat mangsa,” katanya.
Tambah beliau, setakat ini pihak berkuasa Nepal memberikan bantuan dan kerjasama baik kepada kedutaan Malaysia di Kathmandu dan beliau menerima laporan harian daripada pihak di sana mengenai perkembangannya.
Mengenai kemas kini situasi, Mohamad menegaskan pihaknya sentiasa memaklumkan kepada ahli keluarga mangsa secara berkala mengenai perkembangan di Nepal.
Sebelum ini media melaporkan 55 rakyat Malaysia masih belum dapat dikesan susulan banjir besar di Daerah Rasuwa di Nepal, pada 26 Ogos lalu. -BH Online
