KUALA LUMPUR: Malaysia telah memohon kebenaran Kerajaan Nepal untuk mengatur gerak Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) bagi membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR) susulan bencana banjir di negara itu.
Perkara itu telah disampaikan Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan ketika perbualan telefon dengan rakan sejawatnya dari Nepal, Shisir Khanal pada Isnin.
“Perbincangan tertumpu kepada perkembangan terkini operasi SAR, khususnya usaha mengesan rakyat Malaysia yang masih belum dapat dihubungi akibat banjir dan tanah runtuh di Nepal tempoh hari,” Mohamad tulis di laman rasmi Facebooknya.
Beliau juga merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Nepal atas segala bantuan dan kerjasama yang diberikan kepada Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu dalam menghadapi situasi ini.
Pada Ahad, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata Kerajaan MADANI memutuskan untuk menghantar Pasukan SMART ke Nepal, bagi membantu operasi SAR susulan bencana banjir yang melanda negara itu.
Anwar berkata Pasukan SMART turut diamanahkan untuk mengesan dan membawa pulang rakyat Malaysia yang terjejas, selain membantu Kedutaan Besar Malaysia di Nepal menyelaras bantuan serta memastikan keselamatan dan kebajikan mereka.
Beliau juga berkata Malaysia akan menyalurkan sumbangan sebanyak AS$1 juta kepada Nepal bagi membantu mangsa yang terjejas serta menyokong usaha pemulihan pascabencana.
Kementerian Luar berkata sebanyak 55 rakyat Malaysia dilaporkan masih gagal dihubungi susulan banjir kilat dan tanah runtuh yang berlaku pada 26 Ogos.
Sementara itu, Anadolu Ajansi melaporkan angka kematian akibat banjir kilat dan tanah runtuh yang di sempadan Nepal-China meningkat kepada sekurang-kurangnya 919 orang, manakala hampir 4,800 lagi dilaporkan hilang, termasuk 853 warga asing, menurut pihak berkuasa pada Isnin.
Enam hari selepas bencana itu berlaku, SAR masih diteruskan di kawasan terjejas, dengan pihak berkuasa turut berusaha untuk sampai kepada pekerja yang terkandas di beberapa projek hidroelektrik.– BERNAMA
