PUTRAJAYA: Semangat patriotisme rakyat Malaysia dilihat semakin meningkat apabila sambutan Hari Kebangsaan 2026 berlangsung lebih meriah berbanding tahun sebelumnya, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Timbalan Perdana Menteri itu menyifatkan sambutan tahun ini sebagai amat luar biasa, sekali gus menunjukkan peningkatan semangat cintakan negara dalam kalangan rakyat.
“Sangat luar biasa, tahun ini… sambutan lebih baik daripada tahun-tahun yang lalu. Ini memperlihatkan semangat patriotisme rakyat Malaysia semakin bertambah. Alhamdulillah,” katanya kepada pemberita pada Sambutan Hari Kebangsaan 2026 di Dataran Putrajaya, di sini, hari ini.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, berkata semangat sambutan Hari Kebangsaan 2026 yang dipamerkan rakyat menggambarkan kecintaan mendalam terhadap negara.
“Saya menganggap sambutan yang sangat baik dan penuh dengan kemeriahan. Saya melihat tadi semangat ditunjukkan rakyat Malaysia daripada pelbagai lapisan… hujung ke hujung (lokasi) penuh dengan rakyat.
“Sejak semalam, ini menunjukkan semangat patriotik yang ada dalam kalangan rakyat kita. Inilah semangat yang kita hendak bangunkan,” katanya.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang, berkata semangat perpaduan ditonjolkan rakyat adalah manifestasi kepada aspirasi kerajaan untuk membentuk masyarakat yang harmoni.
“Perpaduan memang hebat, ini yang kita harapkan dan semangat yang ditunjukkan memang erat di negara kita, hari ini,” katanya.
Sambutan Hari Kebangsaan 2026 bertema ‘Malaysia MADANI, Kesejahteraan Dinikmati’ merekodkan kehadiran lebih 100,000 pengunjung.
Pelbagai acara memeriahkan sambutan kali ini termasuk perarakan, pertunjukan udara dan persembahan Grafik Manusia membabitkan 1,500 pelajar sekolah.-BH Online
