MELAKA: Kerajaan meneroka alternatif untuk menganjurkan Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA) di Melaka pada masa depan, kata Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Beliau berkata, ia bagaimanapun memerlukan pelaburan besar daripada kerajaan bagi memastikan infrastruktur berkaitan dapat dilengkapkan dengan sempurna sebelum pameran itu boleh dilaksanakan.
“Kalau tengok pada Klebang, ia tidak jauh dari Batu Berendam (yang mempunyai lapangan terbang) dan apabila kapal-kapal laut pun boleh berada di sini, maka ia sebenarnya sebuah tempat yang boleh menjadi alternatif kepada Langkawi.
“Apabila (menganjurkan LIMA) di Langkawi, tidak ramai rakyat boleh pergi tetapi kalau di Melaka ini, seluruh rakyat (dapat hadir). Jadi, ia satu (alternatif) yang boleh kita terokai dan memang seperti kata Datuk Rauf (Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh), ia memerlukan pelaburan yang sangat-sangat besar,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Peluncuran Karnival Kerjasama Awam-Tentera (CIMIC) yang turut dihadiri Ab Rauf dan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Malek Razak Sulaiman, di Dataran 1Malaysia, Klebang di sini, hari ini.
Terdahulu dalam ucapannya pada majlis berkenaan, Mohamed Khaled berkata, kerajaan merancang untuk mengadakan pameran dwitahunan itu di Melaka jika Langkawi tidak lagi menjadi kawasan sesuai pada masa depan.
Beliau berkata, idea itu tercetus berikutan penyertaan enam kapal Tentera Diraja Laut Malaysia (TLDM) yang berjaya menyertai Hari Kebangsaan Peringkat Melaka, tahun ini.
Sementara itu, Ab Rauf berkata, kerajaan negeri bersedia menjadi tuan rumah penganjuran pameran bertaraf antarabangsa berkenaan, namun perlu melihat kepada kemampuan dan manfaat yang diterima Melaka.
“Memang Melaka adalah sebuah negeri yang strategik untuk menganjurkan (LIMA), namun kita kena melihat juga kemampuan kita.
“(Perkara ini) boleh dibincangkan pada peringkat Kerajaan Persekutuan nanti… sekiranya ia benar-benar memberi manfaat kepada Persekutuan dan negeri, kenapa tidak boleh kita laksanakan, insya-Allah,” katanya.
Sementara itu, Unit Komunikasi Strategik, Kementerian Pertahanan, dalam satu kenyataan pula memaklumkan bahawa CIMIC dianjurkan selama tiga hari bermula 29 Ogos hingga esok, sebagai medium untuk memperkukuhkan sinergi awam-tentera, di samping memberi peluang rakyat mengenali Angkatan Tentera Malaysia (ATM) secara lebih dekat.
Antara pengisian utama karnival interaktif itu ialah pameran aset dan keupayaan pertahanan, perkhidmatan komuniti dan kesihatan, serta peluang kerjaya dan belia. -BH Online
