KUALA LUMPUR: Kecekalan komuniti penyakit jarang jumpa yang tidak mengalah mencerminkan jiwa merdeka serta wajar menjadi inspirasi kepada semua, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
Dalam ucapan sempena Hari Kebangsaan 2026, beliau berkata golongan yang berhadapan penyakit jarang jumpa memerlukan kecekalan luar biasa untuk mengharungi cabaran kesihatan dan kehidupan setiap hari.
“Penyakit jarang jumpa bermakna anda istimewa, unik dan mempunyai kekuatan luar biasa yang tidak ada pada orang lain.
“Kementerian Kesihatan (KKM) kekal komited menyokong dan memperkemas perkhidmatan kesihatan agar tiada seorang pun daripada anda tertinggal,” katanya menerusi video yang dimuat naik di Facebook hari ini.
Dzulkefly berkata golongan itu bukan sahaja berjuang untuk diri sendiri, malah kecekalan mereka dalam menghadapi ujian kesihatan dan kehidupan mencerminkan semangat untuk terus teguh dan tidak berputus asa.
Sehubungan dengan itu, beliau berkata kemerdekaan sebenar bukan sekadar bebas daripada penjajahan fizikal atau ditandai dengan laungan “merdeka” dan kibaran bendera, sebaliknya merangkumi ketahanan jiwa dalam mengharungi setiap ujian dengan sabar serta semangat yang tidak pernah luntur.
“Teruslah bermimpi, kekal teguh dan terus berdaya maju. Kerana anda rare (luar biasa), anda real (sejati) dan anda sentiasa bersama kami,” katanya.
Malaysia menyambut Hari Kebangsaan ke-69 esok dengan tema “Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati”. – BERNAMA
