ALOR SETAR: Hanya tujuh peratus atau 62 daripada 945 syarikat tersenarai di Bursa Malaysia mempunyai pemilikan majoriti Bumiputera setakat 2022.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata ia menunjukkan masih banyak ruang perlu diperbaiki bagi mencapai sasaran Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35).
Katanya, pemilikan ekuiti individu dan agensi mandat Bumiputera ketika ini hanya 18.4 peratus berbanding sasaran 30 peratus menjelang 2035.
“Dua tahun lalu, melalui Kongres Ekonomi Bumiputera 2024, kita menetapkan satu anjakan penting iaitu Agenda Bumiputera mesti bergerak dengan sasaran yang jelas, boleh diukur dan dipertanggungjawabkan.
“Hari ini jurangnya masih ketara. Sumbangan perusahaan Bumiputera kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) masih sekitar 8.1 peratus, berbanding sasaran 15 peratus menjelang 2035,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Konvensyen Usahawan Bumiputera (KUB) 2035, di sini, hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, tempoh menuju 2035 semakin singkat dengan negara berdepan perubahan pesat dalam struktur ekonomi dunia.
Katanya, struktur ekonomi dunia berubah pantas melalui kecerdasan buatan (AI), digitalisasi, automasi, semikonduktor dan industri bernilai tinggi.
Justeru, beliau menggariskan tiga anjakan besar dalam ekosistem keusahawanan Bumiputera iaitu menyatukan ekosistem, beralih daripada melahirkan kepada membesarkan usahawan serta memastikan pertumbuhan ekonomi negara turut membesarkan syarikat tempatan.
“Pertumbuhan ekonomi negara perlu diterjemah kepada pengembangan syarikat tempatan supaya lebih banyak perusahaan Bumiputera mampu berkembang dan menguasai sektor bernilai tinggi.
“Jika kita lambat membuat anjakan, kita bukan sahaja berisiko gagal mencapai sasaran PuTERA35, tetapi sekali lagi hanya menjadi pengikut dalam sektor-sektor yang akan mencipta kekayaan baharu dunia.
“Jika dahulu tumpuan kita ialah membuka ruang penyertaan, hari ini kita mesti bergerak lebih jauh daripada penyertaan kepada pemilikan, pemilikan kepada kekuatan dan kekuatan kepada penguasaan,” katanya. -BH Online

