Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan bekerjasama dengan penganjur dan pemilik tapak bagi memastikan kesiapsiagaan rangkaian komunikasi serta perkhidmatan internet di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) menjelang Formula 1 (F1) Gulf Air Bahrain Grand Prix, Oktober ini.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Seri Fahmi Fadzil, berkata kerjasama itu membabitkan penyedia perkhidmatan telekomunikasi yang akan memasang kelengkapan dan peralatan tambahan bagi meningkatkan capaian serta mengurangkan kesesakan rangkaian susulan kehadiran pengguna yang ramai.

“Antara langkah yang biasa diambil bagi persiapan acara berskala besar, pihak MCMC akan bekerjasama dengan penganjur dan pemilik tapak untuk memastikan syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi boleh memasang kelengkapan dan peralatan bagi meningkatkan capaian serta mengurangkan kesesakan atau ‘congestion’ untuk pengguna yang ramai.

“Perbincangan itu sedang berjalan. Saya belum dimaklumkan sama ada perancangan di tapak sudah selesai,” katanya pada sidang media pasca mesyuarat Kabinet di sini, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, Litar Antarabangsa Sepang menjadi tuan rumah perlumbaan F1 yang dijadualkan semula pada 2 hingga 4 Oktober ini.

Grand Prix Bahrain sepatutnya berlangsung pada April lalu, namun ditangguhkan pada Mac bersama Grand Prix Arab Saudi susulan perang dilancarkan Amerika Syarikat (AS) dan Israel ke atas Iran.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata, kemungkinan lawatan ke tapak bersama MCMC dan syarikat telekomunikasi akan dilaksanakan bagi meninjau persiapan serta perancangan berkaitan rangkaian komunikasi di kawasan berkenaan.

Katanya, langkah itu adalah pendekatan biasa yang dilaksanakan bagi memastikan kesiapsiagaan rangkaian telekomunikasi untuk acara berskala besar dan penting kepada negara.

“Memandangkan kita masih mempunyai lebih kurang enam minggu sebelum acara, kemungkinan besar saya akan membuat lawatan ke tapak bersama pihak MCMC dan syarikat telekomunikasi untuk melihat perancangan.

“Ini sama seperti yang kita laksanakan bagi acara-acara berskala besar dan penting untuk negara,” katanya. -BH Online