Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyasarkan penggubalan akta e-dagang baharu dapat disegerakan bagi memberi perlindungan menyeluruh kepada pengguna serta mewujudkan persaingan adil buat peniaga tempatan.

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Dr Fuziah Salleh berkata langkah itu penting bagi mengatasi kelompongan Akta Perdagangan Elektronik 2006 yang disifatkan tidak lagi seiring perkembangan teknologi dan landskap perniagaan digital masa kini.

Menurutnya, ekosistem perniagaan dalam talian kini menjadi semakin kompleks, terutamanya apabila ia melibatkan aktiviti perniagaan rentas sempadan.

“Perkara ini perlu disegerakan kerana kita perlu melihat kesannya kepada ekonomi negara dalam jangka panjang.

“Kerangka e-dagang kita juga perlu bergerak seiring dengan perkembangan teknologi dan perubahan cara rakyat membeli serta berniaga hari ini. Ini penting untuk menutup kelompongan yang masih ada dalam Akta Perdagangan Elektronik 2006, khususnya dari sudut perlindungan pengguna,” katanya menerusi hantaran di laman media sosialnya hari ini.

Fuziah menegaskan penggubalan akta baharu ini memberi tumpuan kepada perlindungan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) daripada persaingan tidak seimbang akibat lambakan harga melampau yang berisiko menjejaskan mata pencarian peniaga tempatan.

Pada masa sama, kerajaan mahu menetapkan tahap pematuhan dan kebertanggungjawaban yang jelas kepada penjual luar negara bagi menangani isu penipuan, barangan tidak selamat, mahupun pertikaian transaksi.

Katanya, peranan penyedia platform e-dagang turut perlu dikawal selia memandangkan mereka kini mempunyai pengaruh besar dalam penentuan pemasaran dan pengedaran produk, bukan sekadar menjadi tempat menemukan pembeli dan penjual.

Di samping itu, penyertaan firma asing dalam pasaran tempatan perlu memberi nilai tambah nyata kepada ekonomi negara menerusi pelaburan, pemindahan teknologi, peluang pekerjaan, serta pembukaan ruang untuk syarikat tempatan dalam rantaian bekalan.

Fuziah turut menegaskan dasar kerajaan dalam mengawal selia pasaran digital tidak hanya berasaskan faktor penawaran harga barangan yang murah, sebaliknya mengutamakan pertumbuhan ekosistem yang mampan.

“Harga yang kompetitif memang memberi manfaat kepada pengguna, tetapi jangan sampai wujud persaingan yang tidak seimbang sehingga peniaga tempatan kehilangan pasaran dan mata pencarian.

“Kita bukan hanya bercakap soal harga murah, tetapi bagaimana untuk mewujudkan ekosistem yang lebih sihat supaya PMKS dan peniaga tempatan mempunyai ruang untuk berkembang dan bersaing dengan lebih adil,” katanya. -BH Online