Sorting by

×
Screenshot
Hantar Berita Ini:

KUALA KANGSAR: Projek Lebuhraya West Ipoh Span Expressway (WISE) kini memasuki fasa pelaksanaan selepas pembiayaannya diselesaikan menerusi penerbitan sukuk bernilai RM5.55 bilion, kata Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Beliau berkata perkembangan terbaharu diterimanya daripada pihak pengurusan WISE memaklumkan projek berkenaan kini berada pada peringkat akhir mendapatkan pembiayaan seterusnya membolehkan kerja berkaitan pengambilan tanah dimulakan.

“WISE ini sebenarnya dijalankan secara PFI (Inisiatif Pembiayaan Swasta). Mereka sudah memperoleh dana dan sudah memulakan kerja berkaitan pengambilan tanah, itulah yang dilaporkan kepada saya,” katanya pada sidang media selepas Program Mesra Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak Tahun 2026 di sini hari ini.

Sebelum ini dilaporkan, Lebuhraya WISE sepanjang 60 kilometer itu bakal dilengkapi tiga lorong dua hala, bermula dari Gopeng melalui Batu Gajah, Siputeh, Manong, Tronoh, Beko, Seri Iskandar dan seterusnya ke Kuala Kangsar.

Projek itu juga dijangka menjadi alternatif laluan pengguna selain Terowong Menora. -BH Online