Sorting by

×
Screenshot
Hantar Berita Ini:

ALOR GAJAH: Kerajaan Melaka tidak memilih siapa yang perlu didengar atau membezakan latar belakang dalam memastikan setiap suara, keperluan dan kesulitan masyarakat terus diberi perhatian.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, berkata usaha itu diteruskan menerusi Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Siri ke-14 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap Jaya dengan lebih 15 sumbangan dan inisiatif disalurkan terus kepada rakyat di kawasan berkenaan.

“Pendekatan turun padang ini mencerminkan komitmen pentadbiran Melaka Sayang Rakyat (MeSRa) yang menterjemahkan amanah melalui tindakan dan hasil yang memberi manfaat kepada rakyat.

“Selagi mereka rakyat Melaka, setiap suara kita ambil peduli, setiap keperluan kita berikan perhatian dan setiap kesulitan yang kita mampu bantu, kita akan usahakan sebaiknya,” katanya ketika berucap pada majlis penutup majlis berkenaan di sini, hari ini.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap Jaya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan Negeri, Datuk Ngwe Hee Sem. 

Ab Rauf berkata, pendekatan itu menjadi asas pentadbiran negeri yang bukan sekadar menabur janji, tetapi membuktikan setiap amanah diterjemahkan melalui tindakan dan hasil untuk rakyat.

“Inilah watak pentadbiran Melaka Sayang Rakyat. Kita bukan datang untuk menabur janji tetapi membuktikan setiap amanah dipikul mesti diterjemah menerusi tindakan dan hasil yang betul untuk rakyat,” katanya.

Selagi amanah kepimpinan berada di bahunya, Ab Rauf berkata, kerajaan negeri akan terus memperbaiki kekurangan, kurang, menyempurnakan perkara yang belum selesai dan memperjuangkan kepentingan rakyat.

Beliau yang juga ADUN Tanjung Bidara berkata, program turun padang dilaksanakan kerajaan negeri bukan bermusim atau hanya untuk menghadapi pilihan raya, sebaliknya tanggungjawab kepimpinan kepada rakyat.

“Program ini bukan untuk pilihan raya, ini program tanggungjawab kami kepada rakyat. 

“Kita sudah buat lebih dua tahun setengah dan kita terus tumpu kepada rakyat bukan kerana pilihan raya,” katanya. 

Lebih 15 bentuk sumbangan dan inisiatif disalurkan sepanjang jelajah berkenaan, membabitkan peruntukan berjumlah RM150,000 khusus bagi menyantuni dan memberi manfaat kepada warga Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap Jaya. -BH Online