Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KEPALA BATAS: Pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 bukan sekadar melibatkan kepentingan mahasiswa, sebaliknya memerlukan penelitian menyeluruh terhadap kerangka perundangan pendidikan tinggi sebelum akta baharu digubal bagi menggantikannya.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata penelitian itu perlu dibuat secara menyeluruh kerana AUKU adalah akta utama yang bukan sahaja mengandungi peruntukan berkaitan mahasiswa, malah meliputi penubuhan dan perjalanan universiti, urus tadbir, akademik serta pentadbiran.

“AUKU sekarang ini ada 44 seksyen yang mencakupi aspek penubuhan universiti, urus tadbir universiti, kedudukan akademik, ahli-ahli akademik, pentadbir dan lain-lain dengan tujuh seksyen berkaitan dengan mahasiswa daripada 44 itu.

“Dalam konteks mahasiswa, Yang Amat Berhormat (Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim) memberi penekanan supaya kita melihat aspek yang menjadi kekangan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi (PKTAAB) Universiti Sains Malaysia (USM) di sini hari ini.

Zambry berkata penelitian itu perlu dibuat secara menyeluruh dengan mengambil kira aspek kebebasan dan hak ahli akademik serta kekangan dihadapi, selain keperluan pentadbir, mahasiswa, urus tadbir institusi serta perundangan lain berkaitan sistem pendidikan tinggi negara.

Beliau berkata akta baharu yang bakal diperkenalkan perlu menjadi kerangka perundangan utama yang merangkumi keseluruhan ekosistem pendidikan tinggi negara, bukan sahaja untuk memenuhi keperluan semasa tetapi juga masa depan.

Katanya, jawatankuasa bebas yang diumumkan sebelum ini membolehkan pelbagai pandangan dikemukakan dalam proses penelitian itu, selaras dengan pendirian kerajaan untuk mendengar pandangan semua pihak sebelum memuktamadkan kerangka perundangan baharu berkenaan.

Ahad lalu, Zambry berkata kerangka perundangan pendidikan tinggi negara yang lebih komprehensif bagi menggantikan AUKU telah digariskan dalam Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035 dan usaha itu sebahagian daripada agenda pembentukan Akta Satu Pendidikan Tinggi yang dilancarkan Januari lalu.

Sebelum ini, Anwar berkata kerajaan akan memansuhkan AUKU bagi memberi kebebasan dan ruang demokrasi lebih luas kepada mahasiswa di negara ini, selepas mengambil kira memorandum serta pandangan dikemukakan kepimpinan mahasiswa yang mahukan perubahan menyeluruh terhadap akta itu. -BH Online