KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) meluluskan peruntukan RM2 juta kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi kerja-kerja pembaikan segera di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Juasseh, Negeri Sembilan susulan kejadian bumbung sekolah itu yang runtuh pada 18 Ogos lepas.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata keselamatan pelajar, guru dan seluruh warga sekolah itu tidak boleh dikompromi.
“Semoga seluruh warga SMK Juasseh terus berada dalam keadaan sejahtera dan sekolah ini dapat kembali beroperasi seperti biasa dengan persekitaran yang lebih selamat,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Fadhlina turut merakamkan ucapan terima kasih kepada JKR, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan pihak sekolah yang memberikan kerjasama bagi memastikan kerja-kerja pembaikan dapat dilaksanakan secepat mungkin.
Bumbung makmal sekolah berkenaan dilaporkan runtuh kira-kira 12 tengah hari, Selasa lepas, bagaimanapun tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian itu.– BERNAMA
