SHAH ALAM: Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XXII Selangor 2026 berjalan lancar dengan kekurangan isu aduan membabitkan aspek teknikal pertandingan dan penginapan kontinjen.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pemantauan mendapati kurangnya aduan-aduan antaranya berkaitan teknikal pertandingan berbanding penganjuran edisi-edisi terdahulu.
Katanya, keadaan itu menunjukkan hasil penambahbaikan yang dilaksanakan dalam pengurusan temasya dwi tahunan berkenaan.
“Saya boleh katakan sepanjang saya terlibat sebagai Chief de Mission, EXCO Sukan (sebelum ini) kita dapati aduan-aduan yang membabitkan ‘technicality game’ itu sangat berkurang berbanding dengan edisi-edisi yang lepas.
“Setakat ini, Alhamdulillah sangat terkawal dan kita berdoalah tidak berlaku sebarang perkara-perkara yang tidak kita ingini.
“Ada juga insiden meninggal dunia membabitkan kontinjen Kelantan dan juga Terengganu. Jadi saya ucap takziah kepada mereka,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis pelancaran Rancangan Selangor Kedua (RS-2) di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Amirudin berkata, kelancaran itu termasuk faktor keselesaan penginapan kontinjen yang diberikan kebebasan memilih lokasi masing-masing.
“Kerajaan negeri turut menyediakan subsidi penginapan bagi membantu kontinjen sepanjang temasya berlangsung. Konsep kita memberi kebebasan untuk memilih lokasi menerusi subsidi tempat tinggal yang disediakan,” katanya.
Beliau berkata, sambutan penonton dan penyokong sukan juga dilihat menggalakkan walaupun tiada siaran langsung menerusi televisyen.
Katanya, selain kehadiran penonton di venue masing-masing, pertandingan itu masih boleh diikuti menerusi YouTube dan platform digital lain.
SUKMA Selangor 2026 sedang berlangsung bermula dari 15 Ogos hingga 24 Ogos di sekitar negeri Selangor.
Manakala kejohanan Para SUKMA pula dijadualkan berlangsung pada 5 hingga 14 September. -BH Online

