Sorting by

×
Screenshot
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Rakyat negara ini, termasuk penunggang motosikal yang melakukan perjalanan rentas sempadan dinasihatkan supaya mematuhi undang-undang dan peraturan negara yang dikunjungi.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata insiden membabitkan 17 penunggang motosikal Malaysia yang ditahan dan dikompaun pihak berkuasa di Thailand wajar menjadi peringatan mengenai kepentingan menghormati peraturan negara asing.

Tegasnya, setiap rakyat Malaysia perlu menunjukkan sikap bertanggungjawab ketika berada di negara jiran selaras semangat ASEAN yang menekankan persefahaman, toleransi serta saling hormat-menghormati.

“Adalah penting untuk kita memahami setiap negara mempunyai undang-undang dan peraturannya sendiri yang perlu dipatuhi.

“Dalam semangat ASEAN, kita perlu mengamalkan persefahaman, toleransi dan saling menghormati serta mengelakkan sebarang tindakan yang boleh dianggap melanggar undang-undang negara berkenaan,” katanya selepas majlis penutupan Program Amal Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan kerjasama Ipoh Superbike Club sempena sambutan Hari Polis ke-219 dan Ambang Merdeka di Ibu Pejabat Kontinjen Polis (IPK) Kuala Lumpur petang ini.

Ahmad Zahid berkata demikian ketika mengulas mengenai 17 penunggang motosikal dari Malaysia yang berdepan tindakan pihak berkuasa Thailand, baru-baru ini.

Mengulas tindakan terhadap kenderaan asing yang melakukan kesalahan undang-undang di Malaysia, termasuk memasuki negara ini tanpa permit atau melakukan pengubahsuaian yang menyalahi peraturan, Ahmad Zahid berkata, perkara berkaitan isu rentas sempadan turut dibincangkan menerusi mesyuarat konsultasi tahunan antara Perdana Menteri Malaysia dengan pemimpin negara ASEAN.

Katanya, mekanisme itu penting bagi membolehkan sebarang isu membabitkan kepentingan bersama antara negara jiran ditangani secara berhemah dan melalui saluran yang sesuai.

“Perlu ditekankan kepentingan semangat kejiranan yang erat dalam kalangan negara ASEAN dengan mengutamakan tolak ansur serta penyelesaian masalah secara bersama.

“Hubungan baik antara negara jiran perlu sentiasa dipelihara dan sebarang isu hendaklah ditangani secara bersama dengan semangat toleransi dan saling menghormati,” katanya. -BH Online