BANDAR SERI BEGAWAN: Malaysia dan Brunei terus memperkukuhkan hubungan dua hala menerusi Mesyuarat Ke-27 Pelaksanaan Pertukaran Surat (EOL-27) yang berlangsung di Assaraa House A17, di sini, hari ini.
Mesyuarat itu dipengerusikan bersama oleh Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, dan Menteri Luar II Brunei, Datuk Seri Erywan Mohd Yusof.
Pertemuan itu antara lain membincangkan pelbagai isu berkepentingan bersama, termasuk sempadan darat dan laut, kerjasama ekonomi serta usaha mempermudah pergerakan penduduk antara kedua-dua negara.
Mohamad memaklumkan dalam isu sempadan darat, proses pembaharuan sempadan kini sudah mencapai 50 peratus bagi tujuan penandaan di lapangan berdasarkan Term of Reference (2009) dan laporan jawatankuasa teknikal sebagai asas kepada penyelesaian.
Perkembangan itu mencerminkan kemajuan usaha Malaysia dan Brunei menyelesaikan perkara berkaitan sempadan darat secara berperingkat melalui mekanisme teknikal yang dipersetujui kedua-dua negara.
Beliau berkata, mesyuarat itu turut memberi tumpuan kepada hubungan dua hala dan langkah mempertingkatkan kerjasama ekonomi antara Malaysia dengan Brunei.
Kedua-dua pihak turut membincangkan beberapa isu masih perlu diselesaikan, selain mengenal pasti bidang baharu yang boleh diperkukuhkan bagi memberi manfaat kepada kedua-dua negara.
“Antara perkara turut dibincangkan ialah kerjasama PETRONAS Carigali Brunei dengan syarikat minyak Brunei, selain usaha memperkukuhkan kerjasama dalam bidang minyak dan gas.
“Perjanjian membabitkan PETRONAS Carigali di Kelidang bagi aktiviti eksplorasi laut dalam pada kedalaman lebih 2,000 meter, telah selesai ditandatangani.
“Pengeluaran gas pertama daripada projek itu dijangka bermula awal 2029, sekali gus membuka ruang lebih luas kepada kerjasama strategik dalam sektor minyak dan gas antara Malaysia dengan Brunei,” katanya.
Selain itu, beliau berkata, mesyuarat berkenaan membincangkan penubuhan pasukan mencari dan menyelamat (SAR) antara Malaysia dengan Brunei.
“Memorandum persefahaman (MOU) berkaitan kerjasama itu dijadualkan ditandatangani, esok,” katanya.
Kerjasama SAR itu dijangka memperkukuhkan keupayaan kedua-dua negara dalam menghadapi situasi kecemasan dan melaksanakan operasi mencari serta menyelamat, khususnya di kawasan yang mempunyai kepentingan bersama.
Malaysia dan Brunei turut membincangkan usaha mempermudah pergerakan penduduk Brunei ke Sarawak serta Sabah berikutan kewujudan lapan pos pemeriksaan imigresen bagi perjalanan pergi dan balik.
“Jawatankuasa teknikal kedua-dua negara diminta meneruskan perbincangan bagi mengenal pasti kaedah yang sesuai untuk melancarkan pergerakan penduduk, selaras dengan hubungan rapat dan kepentingan bersama Malaysia-Brunei,” katanya. -BH Online
