Sorting by

×
Screenshot
Hantar Berita Ini:

AYER KEROH: Trend projek sakit di bawah seliaan Jabatan Kerja Raya (JKR) terus menunjukkan penurunan apabila jumlahnya kini hanya 4.13 peratus berbanding lima peratus sebelum ini.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan, berkata daripada 871 projek bernilai RM50.6 bilion yang sedang dalam pembinaan, sebanyak 36 projek dikategorikan sebagai projek sakit.

Katanya, daripada keseluruhan projek berkenaan, 259 projek atau 29.4 peratus berada pada kedudukan mendahului jadual, manakala 304 projek atau 35 peratus pula dijangka siap mengikut jadual.

“Ini menunjukkan satu kemajuan yang sangat baik. Pada Mesyuarat Pemantauan Projek Pembinaan Infra Rakyat Kementerian Pelanggan Bilangan Dua di Perak beberapa bulan lalu, projek dikategorikan sebagai sakit yang direkodkan adalah lima peratus manakala pada mesyuarat di Melaka kali ini, projek sakit adalah 36 bersamaan 4.13 peratus daripada 871 projek.

“Justeru, saya sudah mengarahkan supaya penetapan Indeks Prestasi Utama (KPI) dikemukakan pada mesyuarat sama di Sarawak, November depan supaya semua projek sakit diturunkan tidak melebihi tiga peratus daripada keseluruhan projek dalam pembinaan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Pemantauan Projek Pembinaan Infra Rakyat Kementerian Pelanggan Bilangan Tiga 2026 di Seri Negeri, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah Kerja Raya, Datuk Ibrahim Esa dan Pengarah JKR Melaka, Mohamad Salzeli Moktar.

Sementara itu, Ahmad berkata, KKR menetapkan sifar projek sakit tahun ini, namun terdapat beberapa halangan tertentu, termasuk masalah pengambilan balik tanah serta kontraktor.

“KKR tidak hanya mengambil kira angka keseluruhan projek sakit, sebaliknya setiap satu daripada 36 projek berkenaan diteliti secara terperinci bagi mengenal pasti punca dan penyelesaian.

“Namun kita bersyukur kerana peratusan projek sakit di seluruh negara menunjukkan trend penurunan dan Insya-Allah kita tetap berusaha ke arah sifar selepas ini,” katanya. -BH Online