Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Malaysia terus memperkukuh kesiapsiagaan pertahanan susulan peningkatan ketidaktentuan geopolitik dan persekitaran keselamatan serantau yang kian kompleks, kata Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Beliau berkata keperluan meningkatkan peruntukan pertahanan bukan semata-mata didorong perkembangan serantau, sebaliknya turut mengambil kira kemunculan ancaman baharu termasuk serangan siber, elektromagnetik dan kempen penyebaran maklumat palsu secara besar-besaran.

Katanya, perkembangan berkenaan menuntut persediaan lebih mencukupi dan peningkatan aset serta keupayaan pertahanan negara.

“Selain itu, peningkatan aktiviti dan kehadiran ketenteraan di rantau ini terutama susulan persaingan strategik yang semakin sengit antara kuasa besar, mewujudkan persekitaran keselamatan lebih rumit bagi negara seperti Malaysia.

“Malaysia tidak melihat mana-mana negara tertentu sebagai ancaman, namun jelas berlaku peningkatan aktiviti dan kehadiran ketenteraan di rantau ini, khususnya apabila persaingan strategik antara kuasa besar semakin sengit,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohamed Khaled berkata kebimbangan Malaysia adalah berhubung kemungkinan berlakunya kesan tidak disengajakan susulan perkembangan berkenaan, termasuk salah perhitungan, salah faham atau insiden kecil yang berpotensi menjadi lebih serius.

“Jarak geografi juga adalah pertimbangan penting bagi kita,” katanya sambil merujuk perkembangan di sekitar selatan Filipina, termasuk kawasan yang berhampiran Sabah.

Mohamed Khaled berkata sebarang peningkatan ketegangan di kawasan berhampiran Malaysia, walaupun negara ini tidak terbabit secara langsung, ianya boleh memberi implikasi lebih luas terhadap keselamatan dan kestabilan negara di Laut China Selatan.

Pada masa sama, beliau berkata Malaysia menghormati hak Filipina, seperti mana-mana negara berdaulat lain, untuk menentukan pengaturan serta kerjasama pertahanannya berdasarkan keperluan keselamatan negara itu.

“Itu adalah keputusan dua hala bagi negara yang terbabit. Malaysia mempunyai hubungan baik dengan Filipina dan penting untuk kita terus mengekalkan saluran komunikasi terbuka bagi mengurus sebarang kemungkinan salah faham,” katanya.

Mohamed Khaled turut menegaskan perkembangan serantau tidak seharusnya dilihat sebagai usaha Malaysia memihak kepada mana-mana kuasa besar.

“Keprihatinan kita adalah untuk mengekalkan kestabilan serantau dan memastikan persaingan strategik antara kuasa besar tidak membawa kesan tidak disengajakan kepada negara Asean,” katanya. -BH Online