PUTRAJAYA: Jemaah Menteri hari ini meluluskan pelan komprehensif untuk tindakan segera bagi menambah baik kawalan di pintu masuk negara.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Seri Fahmi Fadzil, berkata pelan yang dibentangkan oleh Kementerian Dalam Neger (KDN) dan Kementerian Pengangkutan (MOT) membabitkan beberapa aspek.
“Ya, ada beberapa perkara dibentangkan oleh kedua-dua KDN dan juga MOT, memandangkan ada beberapa perkara membabitkan aspek keselamatan, maka saya minta untuk rujuk kepada KDN untuk maklumat khusus.
“Tetapi pelan terbabit sudah dibentangkan dan diluluskan oleh Jemaah Menteri untuk tindakan segera bermula hari ini juga,” katanya pada sidang media pasca mesyuarat Kabinet di sini, hari ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail semalam berkata, pelan komprehensif bagi menambah baik kawalan pintu masuk negara akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri.
Beliau berkata, pelan itu akan dibentangkan bersama Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berikutan terdapat beberapa elemen di bawah bidang kuasa Kementerian Pengangkutan.
“Pelan berkenaan disediakan dalam tempoh dua minggu susulan arahan Kabinet supaya kawalan keselamatan di pintu masuk negara diperkukuh menerusi penyelarasan membabitkan pelbagai agensi berkaitan,” katanya.
Isu kawalan keselamatan lapangan terbang mendapat perhatian susulan beberapa kes membabitkan rakyat Malaysia kebelakangan ini, termasuk penahanan seorang juruterbang Malaysia bersama kira-kira 25 kilogram dadah yang dirampas di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Indonesia, baru-baru ini.
Selain itu, Fahmi berkata, Jemaah Menteri tidak membincangkan mengenai wawancara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama media antarabangsa berhubung isu geopolitik membabitkan China dan Taiwan sehingga mendapat kecaman keras daripada Taipei.
Beliau berkata, isu berkenaan tidak dibangkitkan pada mesyuarat terbabit.
Fahmi ditanya mengenai kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Luar Taiwan semalam, yang mengkritik kenyataan Anwar dalam satu wawancara baru-baru ini dengan Al Jazeera.
Dalam wawancara itu, Anwar dilapor menyatakan sokongan terhadap dasar Satu China dan berkata faktor sejarah perlu diambil kira ketika mempertimbangkan hubungan Taiwan dengan China.
Kenyataan itu mencetuskan reaksi keras Kementerian Luar Taiwan yang menuduh Anwar membuat kenyataan seperti menggambarkan Taiwan sebagai wilayah yang memisahkan diri daripada China, selain secara terbuka merasionalkan pendirian Beijing untuk menggunakan kekerasan bagi menyatukan semula Taiwan.
Kementerian itu menegaskan bahawa Taiwan adalah sebuah negara berdaulat dan merdeka serta tidak tertakluk kepada Republik Rakyat China.-BH Online
