SEREMBAN: Pengurusan Negeri Sembilan FC (NSFC) mensasarkan untuk menduduki kelompok lima terbaik dalam saingan Liga Super yang akan membuka tirainya minggu depan.
Menteri Besar merangkap Pengerusi NSFC, Datuk Ismail Lasim, menegaskan kekuatan pasukan kali ini dilihat lebih baik terutama dengan kehadiran beberapa pemain import berpengalaman dan pemain kebangsaan.
“Berikutan itu, kita berani meletakkan sasaran di tempat kelima ke atas berbanding musim lalu di tempat ketujuh.
“Walaupun saya belum dapat menyaksikan kekuatan dan persembahan sebenar mereka, namun saya yakin dengan kemampuan pasukan kali ini untuk memberikan cabaran terbaik.
“Saya berharap pemain yang diberikan amanah dapat memberikan komitmen sepenuhnya bagi menjulang nama pasukan,” katanya selepas Majlis Pelancaran Pasukan NSFC musim baharu 2026/27 sempena Hari Bolasepak Negeri Sembilan, di sini, hari ini.
Turut hadir Tunku Besar Tampin merangkap Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS), Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri dan Timbalan Presiden PBNS, Datuk Mohd Zafir Ibrahim.
Ismail berkata, walaupun skuad bimbingan Daniel Giménez Alcañiz beraksi pada sebelah petang pada pusingan pertama Liga Super susulan kerja menaik taraf lampu limpah sedang dilaksanakan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, ia diharap tidak menjejaskan kehadiran ramai penyokong ke stadium.
“Saya amat berharap sokongan yang tinggi daripada penyokong,” katanya. -BH Online
