Sorting by

×
Screenshot
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Polis tidak menahan atau membuat sebarang tangkapan pelarian etnik Rohingya yang berhimpun di hadapan pejabat Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) di Jalan Bukit Petaling, di sini pada 29 Julai lalu. 

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus, berkata semua etnik Rohingya itu dipindahkan sementara ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur untuk tindakan dokumentasi sebelum dibebaskan selepas urusan berkaitan selesai dijalankan.

“Etnik Rohingya berkenaan tidak ditahan atau tiada tangkapan dibuat (terhadap mereka), sebaliknya hanya diperiksa. Mereka dipindahkan ke IPK Kuala Lumpur bagi tujuan dokumentasi sebelum dibebaskan (selepas urusan berkaitan selesai dijalankan). 

“Kita tidak sewenang-wenangnya menahan pelarian,” katanya dalam kenyataan ringkas hari ini yang merujuk laporan berita sebuah agensi antarabangsa seperti dilaporkan sebuah portal media.

Ia melaporkan, pihak berkuasa Malaysia menahan lebih 100 pencari suaka Muslim Rohingya yang berkumpul di luar pejabat UNHCR di Kuala Lumpur dengan mendakwa mereka sedang mendapatkan perlindungan selepas diusir dari kediaman mereka.

Pada 28 Julai lalu media melaporkan, seramai 113 pelarian kebanyakan warga Rohingya yang ditempatkan sementara di Dataran Wira IPK Kuala Lumpur dipindah ke lokasi lain yang ditetapkan oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Polis memindahkan seramai 113 pelarian termasuk masing-masing seorang lelaki Iraq, serta perempuan Somalia dan Indonesia, isteri kepada Rohingya ke IPK Kuala Lumpur bersama wakil pejabat UNHCR. 

Pelarian Rohingya pula membabitkan lelaki dewasa seramai 36 orang dan wanita 21 orang, manakala kanak-kanak lelaki 31 orang serta perempuan 22 orang. 

Polis mengesahkan pemeriksaan terhadap pelarian Rohingya itu mendapati mereka mempunyai dokumen sah UNHCR.

Terdahulu, media melaporkan semua 113 pelarian yang berkhemah di hadapan pejabat UNHCR dipindahkan sementara ke IPK Kuala Lumpur.

Sebelum itu, media melaporkan ratusan pelarian Rohingya menaiki tiga buah bas berkampung di hadapan pejabat UNHCR di Jalan Bukit Petaling, di sini, selepas diusir penduduk tempatan di Pulau Pinang. -BH Online