KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan akan membawa isu pertikaian tanah membabitkan masyarakat Orang Asli Kampung Sungai Cot di Maran, Pahang untuk perbincangan lanjut bersama kerajaan negeri.null
Perdana Menteri berkata langkah itu mengambil kira bidang kuasa berkaitan pemilikan tanah adalah di bawah kerajaan negeri .
Anwar berkata, beliau sempat berhubung menerusi telefon dengan wakil masyarakat Orang Asli kampung berkenaan yang hadir di kediamannya petang tadi.
“Saya mendengar permasalahan dihadapi mereka terkait pertikaian tanah, selain penahanan tiga penduduk Orang Asli dari kampung mereka.
“Alhamdulillah, saya dimaklumkan mereka yang ditahan sebelum ini telah dibebaskan oleh pihak polis,” katanya menerusi Facebook.
Anwar turut mengingatkan semua pihak supaya tidak memanipulasi isu berkenaan, sebaliknya memberi ruang kepada penyelesaian dibuat secara adil dan berhemah mengikut lunas undang-undang.
Isu pertikaian tanah di Kampung Sungai Cot mendapat perhatian selepas tular video seorang wanita Orang Asli bersama anaknya memohon bantuan untuk bertemu Perdana Menteri berhubung penahanan suaminya yang dikaitkan pertikaian tanah di kawasan berkenaan.
Pertikaian itu dipercayai membabitkan tanah diusahakan penduduk Orang Asli, namun kawasan berkenaan dilaporkan mempunyai hak milik berdaftar atas nama sebuah syarikat.
Susulan pertikaian itu, tiga penduduk Orang Asli dilaporkan ditahan polis bagi membantu siasatan sebelum dibebaskan. -BH Online
