Sorting by

×
Screenshot
Hantar Berita Ini:

CYBERJAYA: Sebanyak 82.9 peratus daripada 231 syarikat pemula niaga Bumiputera yang menerima pembiayaan, bimbingan dan sokongan pembangunan perniagaan menerusi Skim Usahawan Permulaan Bumiputera (SUPERB) masih aktif, dengan syarikat yang mempunyai data kewangan merekodkan hasil terkumpul kira-kira RM515.1 juta.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, berkata pencapaian itu menjadi asas kepada usaha kerajaan memperkukuh ekosistem syarikat pemula niaga Bumiputera dengan memberi tumpuan untuk melahirkan lebih banyak syarikat berpotensi berkembang daripada ‘startup’ kepada ‘scale-up’ yang berdaya tahan, berdaya saing dan mampu menembusi pasaran ASEAN serta global.

Beliau berkata, pengalaman Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) menunjukkan bahawa intervensi yang disusun secara strategik bukan sahaja membantu syarikat memulakan perniagaan, malah membolehkan mereka berkembang dan mencipta nilai yang lebih besar kepada ekonomi negara.

Katanya, melalui Program SUPERB Coach & Grow, sebanyak 48 syarikat yang menyertai program itu berjaya meningkatkan jualan terkumpul daripada RM29.87 juta kepada RM65.29 juta, iaitu hampir dua kali ganda berbanding sebelum menyertainya.

“Lebih membanggakan apabila 36 syarikat atau 75 peratus daripada peserta program itu berjaya meningkatkan jualan sekurang-kurangnya 50 peratus, sekali gus membuktikan usahawan memerlukan lebih daripada sekadar suntikan dana untuk berkembang,” katanya ketika berucap pada Program Ekosistem Pemula TERAJU: Suara, Visi dan Aspirasi di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Akmal Nasrullah berkata, kejayaan itu menunjukkan syarikat pemula niaga turut memerlukan pelanggan, jaringan perniagaan, bimbingan, bakat dan sokongan yang mampu memperkukuh operasi ketika memasuki fasa pertumbuhan.

Mengenai hala tuju pembangunan syarikat pemula niaga Bumiputera, beliau berkata cabaran utama ketika ini bukan lagi sekadar melahirkan lebih banyak ‘startup’, sebaliknya membina ekosistem yang menyediakan laluan pertumbuhan yang jelas untuk syarikat berkembang menjadi ‘scale-up’.

Jelasnya, dalam perjalanan itu terdapat satu fasa kritikal yang dikenali sebagai ‘the missing middle’ atau jurang pertumbuhan, apabila banyak syarikat berjaya menghasilkan produk dan memperoleh pelanggan awal tetapi gagal meneruskan pertumbuhan pada skala lebih besar.

Katanya, keadaan itu lazimnya berpunca daripada kekurangan modal pertumbuhan, kelemahan tadbir urus dan keterbatasan bakat pengurusan yang akhirnya menyekat potensi syarikat untuk berkembang.

Sehubungan itu, Akmal Nasrullah berkata, sokongan kepada syarikat pemula tidak boleh terhenti selepas sesebuah syarikat berjaya ditubuhkan, sebaliknya perlu diteruskan melalui pembiayaan, bimbingan, pengukuhan tadbir urus serta akses pasaran secara berterusan.

“Selaras Pelan Tindakan KL20 dan Pelan Hala Tuju Ekosistem Startup Malaysia, kerajaan mahu melahirkan lebih banyak syarikat tempatan berteknologi tinggi yang berdaya tahan dan berpotensi menjadi peneraju industri.

“Pada masa sama, syarikat Bumiputera perlu dibantu untuk melangkaui pasaran domestik, dengan Malaysia menjadi tempat mereka bermula, manakala ASEAN dan pasaran global menjadi ruang untuk terus berkembang,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata pembangunan Bumiputera di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dan Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35) perlu beralih daripada penyertaan kepada penciptaan serta pemilikan nilai dalam ekonomi.-BH Online