KUALA LUMPUR: Hampir sembilan juta penerima Sumbangan Asas Rahmah (SARA) bulanan di bawah Sumbangan Tunai Rahmah (STR) menggunakan MyKad untuk membeli barangan asas di premis berdaftar yang mencerminkan kadar penggunaan sebanyak 99 peratus, dengan nilai transaksi perbelanjaan di pasaran tempatan mencecah RM3.45 bilion. null
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata bagi SARA Untuk Semua pula, sekitar 22 juta rakyat telah membuat perbelanjaan iaitu 87 peratus daripada keseluruhan jumlah penerima dengan nilai transaksi di pasaran tempatan melebihi RM1.77 bilion.
“Langkah ini turut membuktikan keupayaan kerajaan mengurus dana awam secara fleksibel dan responsif terhadap keperluan semasa. Ia turut mencerminkan pendekatan kerajaan yang lebih bersasar dan inklusif dalam menangani isu kebajikan sosial.
“Kerajaan kekal komited dan sentiasa memantau situasi semasa dalam memastikan program bantuan kerajaan terus disalurkan kepada golongan memerlukan dalam mendepani cabaran kos sara hidup,” katanya melalui jawapan bertulis disiarkan di laman sesawang Parlimen.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Aminolhuda Hassan (PH-Sri Gading) yang meminta Menteri Kewangan menyatakan apakah petunjuk utama yang digunakan kerajaan bagi menilai keberkesanan program STR dan SARA dalam mengurangkan beban kos sara hidup rakyat berpendapatan rendah dan sederhana.
Perdana Menteri berkata, peningkatan peruntukan untuk STR dan SARA dari tahun ke tahun adalah bukti komitmen kerajaan dalam memperkukuh jaringan keselamatan sosial.
Beliau berkata, pada tahun 2026, sebanyak RM15 bilion disediakan kerajaan untuk program STR dan SARA berbanding hanya RM10 bilion pada tahun 2024.
Menurutnya, bantuan kewangan ini, khususnya SARA yang bermula pada tahun 2023 merupakan mekanisme yang digunakan oleh kerajaan bagi membantu rakyat dalam menangani peningkatan kos sara hidup.
“Program ini juga adalah selaras dengan hasrat kerajaan untuk menyediakan bantuan secara bersasar,” katanya.
Antara petunjuk utama keberkesanan program STR dan SARA dalam mengurangkan beban kos sara hidup rakyat berpendapatan
rendah dan sederhana adalah berdasarkan prestasi perbelanjaan oleh penerima yang turut memberi kesan gandaan kepada ekonomi tempatan.
SARA merupakan bantuan tanpa tunai yang disalurkan dalam bentuk kredit melalui MyKad.
Ia boleh digunakan di kedai-kedai yang berdaftar sebagai Rakan Niaga SARA bagi pembelian 15 kategori barangan keperluan asas termasuk barangan kebersihan diri, barangan kebersihan rumah, ubat-ubatan selain barangan makanan asas.
Pendekatan ini membolehkan kerajaan memantau pelaksanaan program secara berkesan dan memastikan golongan sasar benar-benar memanfaat bantuan bagi tujuan dinyatakan.-BH Online

