Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PORT DICKSON: Projek Pelabuhan Kontena AI Pintar bukan sekadar pembangunan pelabuhan baharu, sebaliknya memenuhi keperluan strategik negara dalam memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai negara maritim, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, kedudukan pelabuhan berkenaan di laluan Selat Melaka yang merupakan antara laluan perdagangan paling sibuk dunia perlu dimanfaatkan dengan keupayaan infrastruktur moden dan berteknologi tinggi.

Menurutnya, peningkatan ketidaktentuan geopolitik global termasuk isu keselamatan laluan perdagangan seperti Selat Hormuz menjadikan kepentingan Selat Melaka semakin ketara sebagai laluan strategik perdagangan antarabangsa.

“Ini pelabuhan Smart AI.. ini bukan satu projek kecil. Ia mengisi satu keperluan strategik kerana Malaysia ini negara maritim dan pelabuhan ini strategik di Selat Melaka.

“Seperti mana disebut saudara Loke (Menteri Pengangkutan) tadi, ada soalan di Parlimen tentang masalah Selat Hormuz, maka Selat Melaka ini jadi tumpuan kerana ia antara terusan yang paling sibuk di dunia. 

“Kalau ini (Pelabuhan) paling sibuk di dunia dan kita nampak (kapal) lalu lalang sahaja, dan tidak kita manfaatkan, kita ini tidak pintar.

“Kalaupun ada Pelabuhan Pulau Pinang, Klang, PTP, sebelum ke Singapura, sekarang ada projek-projek baharu.. Sanglang umpamanya di Kedah dan Perlis untuk mengisi keperluan yang besar. Keperluan pengangkutan dan Pelabuhan meningkat tinggi jadi harus ada keupayaan kita,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapan perasmian dalam Majlis Perasmian dan Pecah Tanah Pelabuhan Midport yang merupakan pelabuhan kontena pintar AI di sini, pada Selasa.

Tambahnya, pembangunan projek itu juga membuktikan kepentingan kerjasama kerajaan dan sektor swasta dalam membangunkan projek strategik tanpa memberi tekanan besar kepada kewangan kerajaan.

Malah, penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) menjadikan projek itu lebih berdaya saing berbanding pelabuhan konvensional menerusi kecekapan operasi, penjimatan masa serta pengurangan kos.

“Bila dikemukakan projek ini yang tidak membebankan dana Kerajaan, itu kita sambut baik projek ini apa lagi industrinya atau projek itu strategik pelabuahn kemudian pendekatannya itu super efisien kerana menggunakan AI maknanya menjimatkan masa dan mengurangkan kos.

“Oleh itu dia ada kelebihan ketimbang pelabuhan konvensional jadi sebab itu saya rasa rakyat Negeri Sembilan khususnya Port Dickson dan Linggi dan di Linggi ini dia tidak ada satu projek yang boleh menarik minat pelabur untuk kegiatan di sini, yang lebih rancak jadi sekarang ni dengan kejayaan kita, Linggi, Port Dickson sudah duduk dalam satu peta pembangunan yang agak setanding di rantau ini,” tambahnya lagi.

Projek itu merupakan satu usahasama strategik antara Menteri Besar Negeri Sembilan (Pemerbadanan) atau MBINS dengan syarikat Midports Holdings Sdn. Bhd., iaitu anak syarikat milik penuh Tanco Holdings Berhad yang melibatkan kos pembangunan dianggarkan sebanyak RM3.4 bilion.

Ia merangkumi kawasan pembangunan kira-kira 180 ekar di Mukim Pasir Panjang, Port Dickson, dengan tempoh pelaksanaan bagi Fasa Pertama sekitar tiga tahun.

Pada masa sama, projek itu dirancang sebagai pelabuhan kontena pintar yang memanfaatkan kecerdasan buatan, automasi, Internet of Things, analitik data masa nyata, sistem pengurusan trafik pelabuhan yang lebih cekap serta operasi logistik berasaskan teknologi.

Melalui pendekatan itu, ia berpotensi memendekkan masa pengendalian kargo, meningkatkan kecekapan operasi, memperkukuh keselamatan dan mengukuhkan daya saing rantaian bekalan negara.-BH Online