Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

SEMUA agensi berkaitan diarah berada dalam keadaan siap siaga bagi menghadapi musim tengkujuh.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau memantau perkembangan mutakhir yang melanda beberapa negeri ketika ini.

“Saya memantau keadaan semasa banjir yang kini melanda di Kedah, Perlis, Selangor dan Sabah akibat peralihan monsun pada ketika ini.

“Sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat, saya telah mengarahkan seluruh agensi berkaitan termasuk NADMA, APM dan pasukan keselamatan untuk terus berada pada tahap kesiapsiagaan yang tinggi.

“Meskipun Jabatan Meteorologi telah mengeluarkan notis penamatan amaran hujan berterusan peringkat waspada pada pagi ini,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.

Selain mengingatkan mereka yang berada di kawasan berisiko supaya turut berwaspada Ahmad Zahid berkata, beliau mendoakan agar dipermudahkan segala urusan mereka yang terjejas akibat banjir melanda.

“Saya sentiasa mendoakan agar semua mangsa yang terjejas akibat banjir pada kali ini dipermudahkan urusan dan diberi kekuatan dalam menghadapai musibah yang melanda.

“Begitu juga kepada yang berada di kawasan-kawasan terdedah kepada banjir, saya berharap agar terus ambil langkah berhati-hati dan sentiasa patuh pada arahan pihak berkuasa,” katanya. -Media Perpaduan