PERHIMPUNAN Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-78 telah menjulang nama Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai antara pemimpin disegani di dunia.
Perkara itu diakui Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican yang berkata, keberanian Perdana Menteri di pentas dunia menyatakan pendirian Malaysia mengenai senario konflik yang berlaku di dunia dengan tegas dan berpijak di bumi nyata.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno itu berkata, Anwar telah memulakan langkah yang betul di UNGA.
“Secara keseluruhan, ucapan perdana menteri sewaktu UNGA tempoh hari merupakan ucapan yang cukup berani, tegas dan berpijak kepada realiti semasa.
“PM menyelar kekejaman Israel secara cukup tegas dan terbuka. ‘abusive regime’ kata Anwar. Sementara bersimpati dengan situasi di Afghanistan, ketidakadilan terhadap wanita dan gadis diselar.
“Menerima Myanmar sebagai rakan, tidak sama sekali menidakkan keperluan ‘barbarism’ dihentikan. ‘Flagrant hypocrisy’ disebut dengan sejelas-jelasnya tentang kuasa besar dunia yang ada sekarang.
“Anwar ada ruang mudah untuk menjadi popular di New York. Membisu dalam kekejaman Israel. Ketepikan kekejaman Myanmar. Memuji ketidakadilan.
“Namun, Anwar memilih untuk berkata benar dan terbuka. Kebenaran dan keterbukaan inilah yang barangkali kurang disenangi mereka di koridor kuasa PBB,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya.
Reezal berkata, menjadi salah seorang daripada 139 orang pimpinan utama dan wakil kerajaan dalam sidang sedemikian besar bukanlah sesuatu yang mudah.
Ahli Dewan Undangan Bertam itu berkata, banyak perkara dan angkubah yang perlu diambil kira dan ‘Kenyataan Negara’ Perdana Menteri di UNGA itu yang bukan kecil anak.
“Ia pernyataan terbuka yang dinilai segenap pihak, rakan dan musuh. Setiap ayat diteliti. Setiap ‘diction’ diperhati.
“Saya percaya, inilah jalan paling wajar buat Malaysia. Inilah ‘paksi penting’ dasar luar Malaysia pada ketika ini. Blunt. Plain-spoken. Tegas.
“Tiada hipokrasi, berdasarkan pengalaman yang tidaklah lama di arena antarabangsa, saya yakin ucapan Anwar telah meletakkan beliau dalam senarai ‘pemimpin tegas’ (tough leader) di kalangan pemain politik arena antarabangsa,” katanya lagi.- Media Perpaduan