KESELAMATAN siber negara akan terus diperkukuh apabila termeterainya perjanjian persefahaman Axiata Group Bhd dan Cybersecurity dalam masa terdekat ini.
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil, berkata Axiata dan Cybersecurity Malaysia sedang dalam peringkat akhir bagi memuktamadkan perjanjian itu.
“Saya amat mengalu-alukan usaha ini dan berharap ia akan dapat diselesaikan segera. Saya harap Cybersecurity Malaysia dan Kementerian Komunikasi dan Digital akan dapat menarik lebih banyak pihak untuk mewujudkan kerjasama.
“Saya lihat mungkin perlu diusahakan satu ‘alliance’ (pakatan) di antara penyedia-penyedia perkhidmatan keselamatan siber di negara kita untuk menghadapi aspek keselamatan siber yang mencabar pada masa akan datang kerana kita tahu sekarang ini yang menjadi kerunsingan adalah (serangan) malware dan sebagainya,” katanya.
Fahmi berkata ketika ditemui media selepas lawatan kerja ke Pusat Siber Bersepadu Axiata di Menara CelcomDigi, di Petaling Jaya, hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Axiata, Tan Sri Shahril Ridza Ridzuan; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan/Pengarah Urusan Axiata, Vivek Sood; Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia, Datuk Dr Amirudin Abdul Wahab; dan Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Mahadhir Aziz.
Dalam perkembangan lain, Fahmi dalam ucapannya menggesa syarikat-syarikat telekomunikasi tempatan, termasuk Axiata supaya dapat memikirkan jejak yang lebih luas untuk operasi mereka.
“Memandangkan kita menghampiri tahun 2025 yang mana Malaysia memegang jawatan Pengerusi ASEAN, saya percaya ada peluang yang diberikan bukan sahaja untuk kerajaan tetapi juga untuk organisasi termasuk Axiata memikirkan jejak yang lebih besar dan lebih luas.
“Axiata beroperasi di banyak negara Asia tetapi barangkali, anda juga boleh mempertimbangkan Pusat Siber Bersepadu sebagai sesuatu yang boleh dikendalikan di luar dari negara kita,” katanya. -Media Perpaduan