BANGI: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melancarkan Perikatan Industri dan Pendidikan Malaysia-China (MCIEA) bagi merapatkan hubungan pendidikan dan industri, selain mempercepat pemindahan teknologi kedua-dua negara.
Timbalan Perdana Menteri berkata, MCIEA juga bertujuan menghubungkan bakat dari Malaysia dengan teknologi yang sedang membentuk masa depan serta memperkukuh latihan berasaskan keperluan industri.
Beliau yang juga Pengerusi Majlis Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional (TVET) Negara berkata, MCIEA antara lain berperanan memperluas pendekatan pembelajaran berasaskan kerja (WBL) dan menggalakkan pensijilan profesional.
“Penubuhan MCIEA mempamerkan aspirasi bersama bagi meletakkan Malaysia sebagai hab serantau inovasi TVET dan kerjasama industri-pendidikan, disokong pembangunan bakat masa depan lebih mantap dan bersedia menghadapi cabaran semasa.
“Saya percaya menerusi MCIEA, institusi TVET, universiti, pemain industri serta rakan teknologi akan bekerjasama dalam sektor utama seperti kecerdasan buatan (AI), robotik, pembuatan pintar, teknologi kenderaan elektrik (EV), semikonduktor, logistik dan teknologi digital,” katanya.
null
Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Diplomasi TVET Malaysia-China di sini, malam ini.
Serentak pelancaran MCIEA, Timbalan Perdana Menteri mengumumkan beberapa inisiatif berimpak tinggi, antaranya 1,000 peluang biasiswa bernilai hampir RM18 juta bakal ditawarkan institusi dan industri China kepada graduan TVET Malaysia bagi melanjutkan pengajian peringkat diploma di institusi TVET terkemuka di China.
Beliau berkata, 2,000 peluang latihan antarabangsa bernilai lebih RM10 juta juga bakal disediakan menerusi program mobiliti, peningkatan kemahiran, pemahiran semula serta inisiatif Latih Jurulatih dalam bidang seperti AI, robotik, automasi industri, pembuatan pintar, teknologi EV, semikonduktor, keselamatan siber dan ekonomi digital.
Selain itu, katanya institusi dan industri China akan menyumbang peralatan latihan TVET bernilai hampir RM2 juta bagi memperkukuh pemindahan teknologi, keupayaan latihan serta kesiapsiagaan industri di Malaysia.
“Saya gembira melihat sebahagian peralatan disumbangkan sudah dihantar dan sedang dipamerkan di dewan ini, selain saya amat mengalu-alukan lebih banyak sumbangan seumpama ini bagi terus memperkukuh ekosistem TVET negara.
“Inisiatif ini akan membawa manfaat nyata kepada negara, selain memberi pendedahan antarabangsa kepada graduan TVET kita, akses kepada teknologi canggih serta laluan lebih kukuh untuk memasuki industri berpertumbuhan tinggi.
“Lebih utama, ia juga akan membantu meningkatkan nilai bakat Malaysia, memperkukuh institusi negara serta menyokong industri dengan tenaga kerja lebih bersedia menghadapi keperluan masa depan,” katanya.
Ahmad Zahid berkata, Malaysia tidak boleh bergerak sendirian untuk berjaya menghadapi masa depan baharu, sebaliknya memerlukan rakan strategik yang berkongsi komitmen sama terhadap pembangunan bakat teknologi dan inovasi.
Ekosistem bakat masa depan
Justeru, katanya, negara perlu membangunkan ekosistem bakat masa depan yang berhubung rapat dengan industri, dipacu teknologi dan berupaya menyediakan generasi muda untuk menghadapi ekonomi masa hadapan.
Beliau antara lain menyifatkan kerjasama Malaysia-China tepat pada masanya dan penting dalam merealisasikan hasrat berkenaan, selain hubungan erat kedua-dua negara dibina melalui pelaburan, perdagangan, pendidikan, teknologi serta pertukaran antara rakyat Kuala Lumpur-Beijing.
“Dalam era baharu ini, kerjasama antara negara tidak lagi boleh diukur semata-mata berdasarkan nilai perdagangan atau jumlah projek diumumkan. Kekuatan sebenar sesebuah negara terletak pada bakat dibangunkan, kemahiran dipupuk serta keupayaan rakyat menyesuaikan diri dengan perubahan.
“Malaysia amat menghargai kepemimpinan China dalam bidang pembuatan termaju, AI, robotik, automasi industri dan transformasi digital. Pengalaman mereka membuktikan negara mampu mencapai kemajuan luar biasa apabila pendidikan, industri dan teknologi bergerak seiring.
“Kita juga sedang menuju ke arah sama. Di bawah Majlis TVET Negara, kita sudah menetapkan sasaran jelas bagi memastikan 70 peratus lepasan Sijil Pelajaran Malaysia memilih laluan TVET menjelang akhir Rancangan Malaysia Ke-13,” katanya.-BH Online
