KUNDASANG: Kerajaan bercadang untuk menambah 18 lagi Sistem Amaran Awal (EWS) di Sabah di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi meningkatkan keselamatan penduduk di kawasan berisiko geologi.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata ketika ini terdapat empat EWS sedang beroperasi di Sabah iaitu di Kundasang, Kokol, Kepayan Ridge dan Kinarut.
“Sistem Amaran Awal berperanan besar dalam membantu pemantauan keadaan cerun dan pergerakan tanah secara masa nyata manakala Penanda Aras Pergerakan Sesar pula menjadi instrumen kritikal untuk mengesan perubahan atau pergerakan tanah yang berlaku secara berperingkat dalam jangka masa tertentu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Projek Pemasangan Sistem Amaran Awal dan Penanda Aras Pergerakan Sesar di Sekolah Kebangsaan Mesilou, di sini hari ini.
Arthur berkata projek berkenaan mencerminkan komitmen kerajaan dalam melindungi nyawa rakyat, meningkatkan tahap kesiapsiagaan komuniti serta memperkukuh daya tahan kawasan berisiko geologi seperti Kundasang dan Ranau.
Beliau berkata pendekatan yang diambil oleh kerajaan melalui kementeriannya kini lebih bersifat proaktif dan berasaskan data.
“Kita tidak lagi hanya mahu bertindak selepas bencana berlaku, tetapi kita memberikan penekanan yang amat serius kepada langkah pencegahan, pemantauan awal dan penggunaan sains geologi serta data teknikal yang tepat,” katanya.
Sementara itu, Arthur berkata Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) melalui Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) menyalurkan peruntukan RM500,000 bagi pelaksanaan Projek Kampung Angkat MADANI JMG 2026 di Kampung Dumpiring Bawah di sini.
null
Katanya, peruntukan itu bukan sekadar angka dalam dokumen pembangunan, sebaliknya mencerminkan komitmen serta inisiatif Kerajaan Persekutuan menyantuni rakyat dan melaksanakan intervensi yang memberi manfaat terus kepada penduduk.
Beliau berkata Kampung Angkat MADANI merupakan antara pendekatan kerajaan untuk memperkukuh hubungan kementerian, jabatan, agensi kerajaan dan komuniti setempat.
“Kerajaan sentiasa komited mendampingi rakyat, khususnya masyarakat luar bandar dalam memastikan pembangunan yang dilaksanakan benar-benar sampai kepada komuniti, memberi manfaat langsung dan meningkatkan kualiti hidup penduduk,” katanya.
Arthur berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program itu yang turut dihadiri Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti Sabah, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kundasang.
Dewan itu, menurut beliau bakal menjadi pusat aktiviti komuniti, program kemasyarakatan, pendidikan serta pembangunan sosial yang memberi manfaat kepada penduduk kampung dan kawasan sekitarnya.
Arthur berkata melalui program itu, kerajaan mahu melihat kampung tersebut bukan sahaja menjadi kampung angkat secara nama, tetapi menjadi contoh sebuah komuniti lebih berdaya tahan, selamat, lestari dan terhubung dengan agensi kerajaan.
Sementara itu, Joachim menzahirkan penghargaan kepada NRES dan JMG atas pelaksanaan Program Kampung Angkat MADANI di Kampung Dumpiring Bawah yang disifatkan sebagai peluang penting untuk membina komuniti lebih tersusun, selamat, berdaya tahan dan sejahtera.
Beliau berkata pelaksanaan program itu perlu digerakkan menerusi kerjasama erat pelbagai pihak termasuk JMG, Pejabat Daerah Ranau dan pihak berkuasa tempatan bagi memastikan pembangunan di kawasan berisiko seperti Kundasang dilaksanakan secara terancang serta mengambil kira aspek keselamatan.
“Kita berharap apabila Kampung Dumpiring Bawah dijadikan kampung angkat, JMG akan lebih kerap berada di sini dan menjadi sumber rujukan kepada penduduk, khususnya dalam aspek pencegahan serta mitigasi risiko bencana,” katanya.– BERNAMA
