KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengambil maklum pengumuman pembubaran Dewan Negeri Johor Ke-15 yang dibuat Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, hari ini.
Pengerusi SPR, Datuk Sri Ramlan Harun, berkata pihaknya akan menetapkan tarikh Mesyuarat Khas bagi membincangkan tarikh-tarikh penting Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Negeri Johor Ke-16 sebaik menerima pemakluman rasmi berhubung pembubaran itu daripada Speaker Dewan Negeri Johor.
“Ini akan dilakukan sebaik sahaja kita menerima pemakluman rasmi daripada Speaker Dewan Negeri Johor berkaitan tarikh pembubaran Dewan Negeri Johor ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Johor yang mempunyai 56 kerusi secara rasmi dibubarkan hari ini, bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16.
Pembubaran itu diumumkan Onn Hafiz dalam satu sidang media khas di kediaman rasminya di Saujana, Johor Bahru petang ini.
Onn Hafiz berkata, pembubaran DUN itu dilakukan setelah menghadap dan mendapat perkenan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail pagi ini.
Ia sekali gus mengakhiri spekulasi pembubaran DUN Johor yang hangat diperkatakan termasuk di media sosial sebelum ini.-BH Online
