Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

SEPANG: Pengurusan haji Malaysia bagi musim 1447H/2026M berlangsung dengan lancar, sistematik dan teratur, sekali gus mengukuhkan kedudukan negara sebagai peneraju pengurusan haji bertaraf dunia.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Hasan, berkata, Malaysia terus mendahului banyak negara dalam aspek pengurusan haji menerusi pelaksanaan pelbagai inovasi, termasuk Program Green Hajj atau Haji Lestari yang menumpukan usaha kitar semula dan penggunaan semula kain ihram serta barangan yang boleh dikitar semula.

Beliau berkata kempen kebersihan yang dilaksanakan di kawasan Masya’ir dan penempatan jemaah turut mendapat perhatian negara lain berikutan tahap kebersihan yang tinggi dan pengurusan yang tersusun.

“Penggunaan teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI) turut diperkasakan menerusi aplikasi E-Taib yang membantu jemaah mendapatkan maklumat serta jawapan secara masa nyata berkaitan urusan ibadah haji dengan pemantauan pakar syariah,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas tiba di tanah air selepas selesai meninjau dan menyelaras urusan jemaah haji Malaysia di Tanah Suci di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini.

Malaysia sekali lagi mengharumkan nama negara apabila dinobatkan sebagai penerima pengurusan dan perkhidmatan haji terbaik dunia menerusi penganugerahan Labaitum Diamond Award oleh Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi.

Anugerah itu adalah pengiktirafan Labaitum kelima yang diterima Malaysia dan kali kedua negara meraih kategori tertinggi iaitu Diamond Award.

Zulkifli berkata, pengiktirafan berkenaan membuktikan kecekapan dan kecemerlangan sistem pengurusan haji negara yang diterajui oleh Lembaga Tabung Haji sehingga menjadi rujukan di peringkat antarabangsa.

“Ini membuktikan Malaysia mempunyai sistem pengurusan haji yang unggul dan menjadi contoh kepada banyak negara. Semua aspek perkhidmatan kepada jemaah, bermula daripada kursus haji, penerbangan, penginapan, logistik, penyediaan makanan hingga aspek keselamatan, dirancang dan dilaksanakan dengan teliti serta berkesan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada semua petugas haji daripada Lembaga Tabung Haji dan Kementerian Kesihatan Malaysia yang memainkan peranan penting dalam memastikan kebajikan, kesihatan dan keselesaan jemaah sepanjang berada di Tanah Suci.

Menurutnya, petugas haji Malaysia sentiasa bersedia membantu jemaah dalam apa jua keadaan termasuk mereka yang tersesat di sekitar Masjidil Haram.

“Pasukan yang dikenali sebagai ‘Semut Hitam’ sentiasa berada di lapangan bagi memastikan jemaah menerima bantuan dengan segera dan berkesan,” katanya.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada kerajaan khususnya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas sokongan berterusan terhadap pengurusan haji negara.

Pada masa sama, beliau mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Arab Saudi, termasuk Penjaga Dua Masjid Suci Raja Salman bin Abdulaziz Al Saud, Putera Mahkota Mohammed bin Salman serta Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi atas kerjasama erat yang diberikan kepada Malaysia.

Katanya, pengiktirafan berterusan yang diterima negara mencerminkan komitmen tinggi Malaysia dalam menyediakan perkhidmatan haji yang berkualiti, moden dan berteraskan kebajikan jemaah, sekali gus mengangkat nama negara di persada antarabangsa.-BH Online