KUCHING: Kepakaran tempatan dalam bidang aeroangkasa, kejuruteraan satelit, analitik data dan teknologi komunikasi masa depan perlu dibangunkan segera di Sarawak selaras dengan sasaran untuk melancarkan satelit nano berasaskan CubeSat menjelang 2030.
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg berkata, satelit orbit rendah itu bakal menyokong perkhidmatan geolokasi masa nyata, pemantauan hutan, pengawasan maritim, pengurusan bencana serta keupayaan pemerhatian bumi.
Beliau berkata, pembangunan kapasiti tempatan dalam bidang berteknologi tinggi itu penting bagi memastikan Sarawak bersedia menghadapi ekonomi masa depan yang semakin dipacu inovasi dan teknologi.
“Sebagai sebahagian daripada strategi transformasi digital jangka panjang, kita sedang membangunkan Kampus Data Kecerdasan Buatan (AI) Kuching di Tanjung Embang yang merangkumi kawasan kira-kira 405 hektar.
“Kampus ini akan menjadi pemangkin kepada pembangunan Grid AI serantau, memperkukuh ekosistem digital Sarawak sekali gus menarik pelaburan global berkualiti tinggi,” katanya dalam perutusan khas sempena sambutan Hari Gawai, hari ini.
Pada masa sama, Abang Johari berkata Sarawak kini memasuki fasa kedua Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 menerusi pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) Sarawak bagi tempoh 2026 hingga 2030.
Menurutnya, Sarawak menyasarkan untuk muncul sebagai wilayah maju yang makmur, inklusif dan mampan menjelang 2030 dengan dipacu inovasi, teknologi, data serta modal insan berkualiti tinggi.
Beliau berkata, Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) Sarawak menjadi pelan induk pembangunan yang akan menentukan hala tuju dan masa depan negeri itu dalam tempoh lima tahun akan datang.
“Sasaran utama kita adalah mencapai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak RM282 bilion menjelang 2030.
“Bagi mencapai lonjakan ini, RMK13 akan berpaksikan tiga prinsip utama iaitu Membaiki, Membina dan Baharu, justeru kita akan memperbaiki segala kekangan supaya lebih cekap, membina kemajuan berterusan serta meneroka peluang baharu dalam ekonomi global,” katanya.
Abang Johari berkata, Sarawak kini sedang beralih daripada ekonomi yang bergantung kepada sumber asli kepada ekonomi berasaskan ilmu pengetahuan, inovasi dan kekuatan modal insan.
Beliau berkata, jika sebelum ini pembangunan banyak bergantung kepada hasil minyak, gas dan sumber semula jadi lain, kini negeri itu sedang mengorak langkah ke arah ekonomi yang dipacu oleh kekuatan intelektual atau ‘brainpower’.
“Pelaburan terbesar yang perlu kita lakukan hari ini ialah pelaburan terhadap anak-anak Sarawak. Kekuatan ilmu, kreativiti, kemahiran dan kebijaksanaan tidak mempunyai batasan,” katanya.
Beliau menjelaskan, setakat ini seramai 4,694 pelajar menerima manfaat menerusi Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES) dan jumlah itu dijangka meningkat kepada 10,000 pelajar menjelang akhir tahun ini.
Pada masa sama, Yayasan Sarawak turut memperkenalkan program tajaan peringkat doktor falsafah (PhD) selama empat tahun dengan kerjasama University of Bristol, United Kingdom, bagi melahirkan lebih ramai bakat tempatan berkemahiran tinggi.
Selain itu katanya, Sarawak juga sedang membangunkan loji polysilicon gred semikonduktor pertama di Asia Tenggara di Bintulu yang mendapat sokongan International Finance Corporation (IFC), selain Sistem Transit Rapid Autonomi (ART).
Ia dijadual mula beroperasi pada suku keempat tahun ini menerusi Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS), sekali gus menjadikan Kuching model pengangkutan bandar berkuasa hidrogen di ASEAN.- BH Online
