Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Kerajaan Pahang hari ini melancarkan tujuh buku eksklusif yang mengetengahkan identiti, kekayaan biodiversiti, warisan serta produk pelancongan negeri itu sempena penyertaan dalam Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026. 

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata penerbitan berkenaan dihasilkan sebagai usaha mendokumentasikan keunikan negeri itu selain memperkenalkannya kepada masyarakat dalam dan luar negara. 

“Apabila kita berbicara mengenai Pahang, janganlah hanya melihat kepada keluasan hutannya, kekayaan khazanah alamnya atau angka-angka pencapaian yang berjaya direkodkan semata-mata. 

“Lebih daripada itu, Pahang sebenarnya ialah sebuah negeri yang sarat dengan cerita. Cerita mengenai sebuah negeri yang sedang melangkah maju tanpa melupakan akar sejarah dan identitinya.

“Sebab itulah penerbitan buku-buku yang dilancarkan pada hari ini membawa makna yang cukup besar. Ia bukan sekadar himpunan gambar, fakta atau dokumentasi. Ia adalah rakaman perjalanan sebuah negeri yang menghubungkan masa lalu, masa kini dan masa hadapan. 

“Setiap buku ini membawa cerita dan nilai tersendiri mengenai Pahang. Saya berharap masyarakat mengambil peluang untuk membaca dan mengenali negeri ini dengan lebih dekat menerusi penerbitan yang dihasilkan,” katanya selepas merasmikan Koleksi Buku Eksklusif Negeri Pahang dan Pristine Pahang sempena PBAKL di sini, hari ini. 

Tujuh buku berkenaan ialah Sketch Pahang: Pahang First Edisi Istimewa, Best Places in Tengku Hassanal Wildlife Reserve, Pahang Passage Through Sight and Soul, Dasar Biodiversiti Negeri Pahang, Pahang State Action Plan for Peatlands 2026-2035, Pasport Pahang: Edutourism Trail @ Kuantan dan Celebrating 25 Years Forest Frontier Discoveries.

Mengulas lanjut, Wan Rosdy berkata, penyertaan Pahang dalam festival buku terbesar negara itu turut mendapat sambutan memberangsangkan apabila kehadiran pengunjung dari negeri berkenaan meningkat berbanding tahun lalu. 

Sehubungan itu, beliau menggalakkan lebih ramai rakyat Pahang dan orang ramai mengunjungi festival berkenaan yang disifatkan sebagai platform penting untuk memupuk budaya membaca serta menambah ilmu pengetahuan. 

“Festival buku ini menawarkan pelbagai bahan bacaan yang bermanfaat kepada semua lapisan masyarakat, sama ada kanak-kanak, pelajar mahupun golongan dewasa. 

“Peluang seperti ini hanya datang sekali setahun dan saya berharap lebih ramai masyarakat memanfaatkannya untuk mendapatkan bahan bacaan berkualiti,” katanya.-BH Online