Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Kestabilan, perancangan mampan pucuk pimpinan dan kesatuan rakyat menjadi kekuatan Sarawak untuk terus melangkah ke hadapan di sebalik ketidaktentuan ekonomi serta krisis bekalan dunia, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata kejayaan negeri itu dalam pembangunan tenaga, ekonomi hijau dan kesejahteraan rakyat adalah hasil usaha bersama seluruh masyarakat tanpa mengira latar belakang.

“Semangat segulai sejalai, saling menghormati dan bekerjasama inilah yang menjadikan Sarawak terus maju serta diperakui sebagai antara contoh terbaik kestabilan, kebersamaan dan kesepakatan rakyat di negara ini,” katanya dalam perutusan bersempena dengan Hari Gawai menerusi Facebook hari ini. 

Fadillah berkata Hari Gawai yang disambut pada 1 dan 2 Jun setiap tahun itu bukan sekadar melambangkan kesyukuran atas hasil tuaian, malah adalah warisan budaya dan identiti unik yang memperkukuh semangat kekeluargaan masyarakat Dayak.

Beliau berkata sambutan itu melambangkan perpaduan pelbagai kaum dan agama yang menjadi asas keharmonian Sarawak sejak sekian lama, selain menyifatkan kepelbagaian tersebut sebagai contoh keharmonian yang memperkukuh identiti Malaysia.

“Semoga sambutan Gawai tahun ini terus menyatukan hati kita dalam semangat Segulai Sejalai, demi masa depan yang lebih maju makmur, lestari dan sejahtera untuk generasi akan datang.

“Selamat Hari Gawai, Gayu Guru, Gerai Nyamai, Lantang Senang Nguan Menua,” katanya.-BH Online