JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri memperuntukkan lebih RM30 juta bagi pelaksanaan program bantuan Bakul Kasih Johor yang bakal memberi manfaat kepada lebih 550,000 keluarga.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata inisiatif itu bagi meringankan perbelanjaan harian rakyat yang terkesan dengan tekanan kos sara hidup akibat ketidaktentuan ekonomi global.
Beliau berkata, bantuan bakul makanan itu merangkumi keperluan asas harian seperti beras, tepung gandum, sardin, gula dan barangan dapur penting yang lain.
“Inisiatif Bakul Kasih Johor ini disalurkan sebagai antara usaha kecil untuk membantu meringankan beban, khususnya kepada mereka yang benar-benar memerlukan,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Beliau berkata demikian selepas meluangkan masa turun padang bagi menyampaikan sendiri bantuan berkenaan kepada penerima dalam lawatan kerja ke daerah Tangkak dan Muar.
Onn Hafiz berkata, sumbangan itu diharap sedikit sebanyak dapat meringankan komitmen kewangan harian keluarga yang terbabit.
Katanya, kerajaan negeri akan terus berusaha menjaga kebajikan rakyat dengan sebaiknya bagi memastikan setiap keluarga Bangsa Johor dapat hidup dalam keadaan yang lebih makmur dan sejahtera.-BH Online
